Bersatu mampu menang tujuh kerusi - Utusan Malaysia

Bersatu mampu menang tujuh kerusi

MUHYIDDIN Yassin (kiri) bergambar bersama penyokong semasa berkempen di Pasar Besar Melaka, Bachang, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mampu memenangi kesemua tujuh kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini.

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, harapan itu berdasarkan sambutan positif yang diterima sepanjang beliau turun berkempen di hampir semua kawasan yang ditandingi.

Menurutnya, penerimaan pengundi terhadap Bersatu yang bertanding dengan logo sendiri di Melaka juga dilihat lebih baik berbanding pilihan raya sebelum ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pertama kita gunakan dulu di Negeri Sembilan. Nampak di Melaka ini sambutan lagi baik.

“Orang mudah faham dan dapat mengenal pasti apa maksud perjuangan parti kita, apa lagi bila mereka jumpa dengan saya.

“Jadi, atas dasar itu saya berharap kalau tak kesemua kawasan tapi semua yang tujuh kita tandingi itu boleh memperoleh kemenangan,” katanya ketika ditemui selepas berkempen di Bachang di sini hari ini.

Menurut Muhyiddin, beliau turut meminta pemimpin Bersatu memberikan penerangan kepada pengundi berhubung kedudukan parti kerana masih terdapat kekeliruan antara Bersatu dan Perikatan Nasional (PN).

Katanya, Bersatu bertanding menggunakan lambang sendiri susulan masalah dengan Pas dalam PN yang masih belum diselesaikan.

“Ada yang agak keliru Bersatu dan PN. Jadi di Melaka kita bertanding atas simbol Bersatu.

“Kita ada menghadapi masalah dengan Pas dalam PN, kes ini masih lagi belum selesai.

“Sebab itu kita mengambil keputusan untuk menawarkan calon kita untuk tujuh kawasan dengan menggunakan logo ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini