ANKARA: Turkiye akan meningkatkan sokongan ketenteraan kepada Arab Saudi dalam tempoh beberapa minggu akan datang dengan menghantar anggota serta peralatan pertahanan tambahan susulan peningkatan serangan Houthi terhadap negara itu.
Beberapa pegawai Turkiye memaklumkan perkara itu kepada Middle East Eye (MEE), sehari selepas Turkiye, Pakistan dan Arab Saudi mengumumkan pelaksanaan segera komitmen pertahanan bersama di bawah Pakatan Pertahanan Mekah.
Dalam satu kenyataan bersama pada Isnin, ketiga-tiga negara bersetuju menyediakan pasukan dan keupayaan ketenteraan yang diperlukan bagi memastikan pengerahan segera ke Arab Saudi.
Menurut dua pegawai Turkiye, negara itu sejak tahun lalu menempatkan pasukan teknikal, sistem pertahanan udara serta peralatan peperangan elektronik di Arab Saudi.
Seorang pegawai kanan Turkiye berkata, Ankara turut merancang menghantar peralatan tambahan, juruteknik dan pasukan tindak balas kecemasan bersama anggota tempur ke Arab Saudi.
Seorang lagi pegawai berkata, perjanjian latihan ketenteraan yang dimeterai Arab Saudi dan Turkiye pada 2010 membolehkan Ankara menempatkan pasukan dalam jumlah terhad di negara itu bagi tujuan teknikal.
Bagaimanapun, penempatan pasukan tambahan memerlukan kelulusan Parlimen mengikut peruntukan Perlembagaan Turkiye.
“Kami juga perlu meratifikasi perjanjian Mekah, tetapi mungkin mengutamakan rang undang-undang bagi membenarkan penempatan tentera,” katanya.
Pegawai itu berkata, Ankara merancang menempatkan pasukan tentera di sekurang-kurangnya satu pangkalan komando, khususnya bagi menyediakan sokongan pertahanan kepada Arab Saudi.
Sumber lain yang mengetahui rancangan itu turut mendedahkan Turkiye akan menghantar sejumlah juruterbang berpengalaman dan pesawat ke Arab Saudi bagi membantu menangani ancaman dron serta peluru berpandu yang dilancarkan Houthi dari Yemen.
“Kami tidak merancang menghantar sejumlah besar anggota tentera dan tiada rancangan untuk campur tangan secara langsung di Yemen,” kata pegawai kanan itu.











