PETALING JAYA: Pengurusan trafik dan pengangkutan bagi pengunjung Formula Satu (F1) Grand Prix (GP) Bahrain di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pagi ini mendapat reaksi positif apabila disifatkan lebih teratur berbanding semalam.
Pemerhatian di media sosial Threads mendapati beberapa pengguna berkongsi pengalaman perjalanan ke litar yang lebih lancar termasuk penyediaan laluan khas untuk bas ulang-alik.
Pengguna akaun @ryanmahowlett yang memaklumkan tiba di Sepang pagi ini berkata, pengurusan didapati jauh lebih baik dengan bas ulang-alik mempunyai laluan sendiri.
Katanya, ramai anggota polis trafik turut mengatur lalu lintas manakala keadaan orang ramai kurang sesak.
“Pengurusan jauh lebih baik. Bas ulang-alik mempunyai laluan khas sendiri, ramai polis trafik mengatur lalu lintas dan orang ramai jauh kurang sesak. Jauh lebih baik,” tulisnya dalam hantaran berbahasa Inggeris.
Sementara itu, pengguna akaun @nnhs_nadhirah turut menyifatkan keadaan hari ini lebih teratur berbanding semalam.
“Hari ini teratur daripada semalam. Semoga dipermudahkan urusan polis dan semua yang terlibat. Harap balik nanti pun macam ini,” katanya.
Hantaran tersebut turut disertakan rakaman yang memperlihatkan laluan jalan raya dipisahkan menggunakan kon serta pergerakan bas dan kenderaan.
Dalam ruangan komen, pengguna akaun @badiuz.zaman.505 memaklumkan laluan khas untuk bas ulang-alik telah disediakan.
Dia turut berkongsi bahawa perjalanannya dari Mitsui ke SIC hanya mengambil masa 10 minit dan berharap kelancaran sama dapat dinikmati ketika perjalanan pulang nanti.
Membalas komen tersebut, @nnhs_nadhirah turut berharap supaya perjalanan pulang berjalan lancar seperti pagi ini selepas berdepan kesukaran menggunakan bas ulang-alik semalam. – UTUSAN











