PETALING JAYA: Penganjuran Formula 1 (F1) Grand Prix (GP) Bahrain Gulf Air di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) baru-baru ini berjaya menjana kesan limpahan ekonomi dianggarkan mencecah RM345 juta khusus kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan.
Acara sukan antarabangsa berskala besar berkenaan menarik kehadiran seramai 261,000 penonton, dengan hampir separuh daripadanya terdiri daripada pelancong asing.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong berkata, impak positif berkenaan mencerminkan peranan penting penganjuran acara sukan dalam merangsang aktiviti ekonomi menerusi peningkatan perbelanjaan pelancongan dan permintaan perkhidmatan tempatan.
Menurut beliau, sektor PMKS yang menerima manfaat terus merangkumi industri penginapan, makanan dan minuman, peruncitan, pengangkutan, hiburan serta perkhidmatan berkaitan pelancongan.
“Penonton yang menghadiri acara F1 diunjur berbelanja 2.17 kali ganda lebih tinggi berbanding acara biasa. Pelancong asing secara lazimnya berbelanja lebih banyak mengambil kira tempoh penginapan yang lebih lama serta perbelanjaan riadah dan membeli-belah.
“Malaysia boleh memanfaatkan acara sukan antarabangsa seperti F1 sebagai platform untuk PMKS meraih akses pasaran lebih meluas dan meningkatkan penyertaan dalam rantaian nilai pelancongan serta hospitaliti,” katanya dalam kenyataan.
Tambah beliau, hubungan antara PMKS dengan pemain industri berskala besar, penganjur acara dan pengusaha pelancongan perlu terus diperkukuh supaya manfaat ekonomi dapat dinikmati oleh lebih ramai peniaga kecil.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia, Rizal Datuk Nainy berkata, penglibatan PMKS dalam acara berskala antarabangsa itu menyokong matlamat jangka panjang agensi berkenaan.
“Manfaat penganjuran acara sukan antarabangsa ini secara tidak langsung menyokong agenda penskalaan PMKS yang disasarkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13),” katanya. – UTUSAN











