PETALING JAYA: Rapid KL menyelaraskan semula lokasi mengambil dan menurunkan penumpang bagi perkhidmatan bas perantara ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC) bermula hari ini bagi melancarkan pergerakan penumpang.
Rapid KL memaklumkan, penambahbaikan itu dilaksanakan hasil kerjasama dengan pihak SIC serta agensi berkaitan susulan aduan diterima pada hari pertama Formula One Gulf Air Bahrain Grand Prix semalam.
Menurut Rapid KL, pihaknya akan terus memantau situasi bersama SIC dan agensi berkaitan bagi memastikan kelancaran pergerakan penumpang serta pengalaman F1 yang lebih baik kepada semua.
“Setakat pukul 11 pagi tadi, aliran trafik serta pergerakan penumpang berada dalam keadaan lancar dan terkawal.
“Perkhidmatan bas perantara sebelum ini dilaksanakan mengikut perancangan dan aturan operasi yang dipersetujui bersama pihak penganjur.
“Bagaimanapun, susulan maklum balas yang diterima, penambahbaikan dilakukan bagi memastikan kelancaran pergerakan penumpang sepanjang acara berlangsung,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Rapid KL berkata, operasi bas perantara meliputi aspek pengendalian dan pergerakan bas serta penumpang mengikut aturan yang ditetapkan.
“Manakala penyelarasan trafik keseluruhan ke dan dari SIC dilaksanakan bersama pihak penganjur serta agensi berkaitan.
“Rapid KL merakamkan penghargaan atas kesabaran, kerjasama dan maklum balas yang diberikan penumpang dalam usaha menambah baik pengalaman perjalanan sepanjang acara F1 berlangsung,” kata kenyataan itu. – UTUSAN











