Pertumbuhan global dijangka meningkat kepada 3.4 peratus pada 2027

Pertumbuhan global dijangka meningkat kepada 3.4 peratus pada 2027

GAMBAR HIASAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERTUMBUHAN ekonomi global dijangka meningkat kepada 3.4 peratus pada 2027 seiring dengan kesan kejutan tenaga yang menyederhana serta pelaburan berterusan dalam kecerdasan buatan (AI), teknologi dan infrastruktur digital.

Menurut laporan Tinjauan Ekonomi 2027, prospek yang lebih kukuh ini mencerminkan pelaburan dalam teknologi berupaya mengimbangi sebahagian kesan negatif akibat ketegangan geopolitik.

“Pelaburan berkaitan AI dijangka berkembang merentas ekonomi teknologi utama sekali gus menyokong permintaan sektor berkenaan, namun pertumbuhan kekal tidak seimbang kerana negara yang mempunyai sektor teknologi lemah mungkin tidak mendapat manfaat yang sama.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kadar pengangguran global dijangka kekal sekitar 4.9 peratus yang menunjukkan daya tahan berterusan pasaran tenaga kerja global.

“Walau bagaimanapun, perubahan teknologi dan AI dijangka mempengaruhi struktur guna tenaga secara berperingkat menerusi peningkatan permintaan terhadap tenaga kerja berkemahiran tinggi, manakala permintaan terhadap pekerjaan konvensional berkemahiran rendah semakin berkurangan,” katanya.

Tambah laporan itu, inflasi global diunjur menurun kepada 3.9 peratus pada 2027 seiring dengan tekanan berkaitan sektor tenaga yang mereda, walau bagaimanapun ia kekal menjadi tumpuan utama kesan gangguan geopolitik terhadap harga tenaga dan komoditi.

Perdagangan global dijangka terus terjejas akibat ketegangan geopolitik, gangguan rantaian bekalan dan peningkatan perpecahan ekonomi sepanjang 2026 dan 2027, mendorong perniagaan mempelbagaikan rantaian bekalan bagi mengurangkan risiko.

“Aliran pelaburan cenderung tertumpu pada sektor teknologi, AI, keterjaminan tenaga dan industri strategik yang berupaya mewujudkan peluang baharu bagi negara yang mampu menarik pelaburan berasaskan teknologi.

“Sementara itu, pertumbuhan ekonomi Amerika Syarikat (AS) pada 2027 diunjur sebanyak 2.2 peratus dipacu oleh keadaan kewangan yang menggalakkan serta pelaburan berterusan dalam AI, teknologi dan infrastruktur digital,” jelas laporan itu.

Menurut laporan berkenaan, ekonomi AS kekal berdaya tahan meskipun berdepan konflik di Asia Barat disokong oleh kedudukannya sebagai pengeksport bersih tenaga serta peranan penting dalam rantaian nilai teknologi global.

Pasaran buruh AS diunjur kekal berdaya tahan dengan kadar pengangguran sekitar 4.2 peratus, namun inflasi dijangka kekal lebih tinggi daripada sasaran dua peratus Rizab Persekutuan US (Fed) sepanjang 2027.

“Secara keseluruhan, ekonomi global bagi 2026 dan 2027 dijangka dipengaruhi oleh dua faktor yang bertentangan iaitu tekanan geopolitik dan tenaga yang menjejaskan pertumbuhan, berbanding inovasi teknologi dan AI yang menjadi sumber penting daya tahan ekonomi.

“Justeru, pertumbuhan global yang mampan bergantung kepada keupayaan ekonomi menguruskan inflasi, keterjaminan tenaga, kestabilan kewangan dan risiko geopolitik secara efektif,” katanya. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini