NRES terima peruntukan RM2.51 bilion, meningkat 4.8 peratus

NRES terima peruntukan RM2.51 bilion, meningkat 4.8 peratus

ARTHUR JOSEPH KURUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) menerima peruntukan sebanyak RM2.51 bilion menerusi Belanjawan 2027, meningkat 4.8 peratus berbanding tahun ini bagi memperkukuh pengurusan sumber asli, pemuliharaan biodiversiti dan kelestarian alam sekitar negara.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM1.59 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus, meningkat 6.9 peratus berbanding RM1.49 bilion pada 2026.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, peningkatan peruntukan itu akan menyokong kesinambungan pelaksanaan fungsi dan tanggungjawab kementerian dalam memastikan kelestarian alam sekitar terus menjadi sebahagian penting daripada agenda pembangunan negara.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kerajaan Madani komited memperkukuh agenda kelestarian negara menerusi Belanjawan 2027 yang bertemakan ‘Malaysia Madani: Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi’.

“Tema ini mencerminkan aspirasi untuk membawa Malaysia ke tahap kemajuan yang lebih tinggi, berteraskan pembangunan mampan, pengurusan sumber asli yang bertanggungjawab serta pemeliharaan alam sekitar demi kesejahteraan rakyat dan generasi akan datang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Arthur berkata, peruntukan Insentif Kewangan bagi Konservasi Biodiversiti dan Hutan (EFT) turut meningkat lapan peratus daripada RM250 juta tahun ini kepada RM270 juta pada 2027.

Katanya, peningkatan itu mencerminkan kepentingan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri dalam mempergiat usaha pemuliharaan alam sekitar serta melindungi khazanah biodiversiti negara.

Dalam pada itu, beliau berkata, peruntukan Bantuan Kerugian Harta Benda dan Tanaman Akibat Serangan Hidupan Liar (BKHT) turut meningkat 20 peratus daripada RM1.5 juta kepada RM1.8 juta bagi membantu meringankan beban rakyat yang mengalami kerugian akibat konflik manusia dengan hidupan liar.

“Sebanyak RM65 juta turut disediakan antaranya untuk memanfaatkan kira-kira 2,500 renjer komuniti dalam kalangan Orang Asli, veteran tentera dan pesara polis bagi melindungi khazanah biodiversiti negara.

“Peruntukan ini termasuk pembinaan dan penyelenggaraan pos renjer bagi tujuan rondaan,” katanya.

Sementara itu, Arthur berkata, program Elaun Cukai Pelaburan Teknologi Hijau (GITA) dan Skim Pembiayaan Teknologi Hijau (GFS) turut dilanjutkan serta ditambah baik sehingga 31 Disember 2030.

Menurutnya, syarikat yang melabur dalam aset teknologi hijau yang memenuhi syarat kelayakan, termasuk peralatan cekap tenaga dan stesen pengecasan kenderaan elektrik (EV) untuk kegunaan sendiri, layak menerima elaun cukai sehingga 100 peratus.

Katanya, usaha itu turut diperkukuh menerusi pelaburan RM15 bilion oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi Grid Nasional, RM1 bilion oleh UEM LESTRA untuk projek tenaga hibrid dan penyimpanan tenaga serta penyediaan Dana Iklim Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) sebanyak RM1 bilion.

Selain itu, pembangunan Pengerang Biorefinery turut dilaksanakan bagi menghasilkan bahan api rendah karbon seperti bahan api penerbangan mampan (SAF).

Dalam perkembangan berkaitan, Arthur berkata, sebanyak RM15 juta daripada dana ses industri sawit diperuntukkan bagi pemuliharaan spesies terancam termasuk Harimau Malaya dan gajah.

“Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) turut menyediakan RM400 juta untuk membangunkan 120 ekar kawasan hijau baharu, selain mewartakan 100 ekar tanah di Bukit Kiara sebagai Taman Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata, usaha pemeliharaan ekosistem marin pula merangkumi inisiatif pembelian pukat lama bagi mengelakkan ancaman terhadap hidupan laut serta penaiktarafan sistem pembetungan awam di pulau peranginan utama termasuk Langkawi, Redang dan Tioman.

Katanya, NRES akan terus memastikan agenda pemuliharaan biodiversiti, perlindungan hidupan liar serta pengurusan sumber asli dan alam sekitar menyumbang kepada pembangunan negara yang mampan, inklusif dan seimbang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini