ISKANDAR PUTERI: Sebanyak lima penerbangan yang dijadualkan mendarat dan berlepas di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS), di Johor Bahru terjejas pagi ini ekoran masalah jarak penglihatan rendah, susulan keadaan jerebu.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, keadaan cuaca tidak mengizinkan itu telah menjejaskan operasi penerbangan berikutan pesawat tidak dapat mendarat atas faktor keselamatan.
Sehubungan itu katanya, pesawat-pesawat yang terjejas itu terpaksa dilencongkan ke lokasi lain, termasuklah ke Kuala Lumpur dan di Changi, Singapura.
“Beberapa penerbangan pada pagi ini memang terjejas oleh kerana ‘visibility’ rendah di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai. Bukan sahaja tak boleh mendarat, tetapi yang belum berlepas pula diminta untuk menundakan penerbangan tersebut,” katanya
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Armada Lori Terminal Berkuasa Elektrik di Pelabuhan Tanjung Pelepas, di sini hari ini. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh
Tambah Siew Fook, penerbangan beliau dari Kuala Lumpur International Airport (KLIA) ke Senai turut terjejas apabila terpaksa ditangguhkan selama sejam 45 minit sebelum dibenarkan berlepas.
“Penerbangan saya juga terjejas, sepatutnya penerbangan saya berlepas pukul 7:15 pagi, tetapi selepas mendaftar masuk sekitar pukul 7:00 pagi, juruterbang memaklumkan bahawa pesawat tidak boleh mendarat di Senai.
“Maka kalau kita berlepas sekali pun, ia tetap tidak boleh mendarat jadi lebih baik kita menunggu di KLIA. Jadi kita menunggu hampir satu jam 45 minit, sehingga pukul 9:00 pagi baru berlepas,” katanya.
Setakat pukul 9 pagi tadi, tujuh kawasan di Johor merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat dengan Segamat merekodkan bacaan IPU tertinggi iaitu 186; diikuti Pasir Gudang (180), Larkin (178) dan Tangkak (171).-UTUSAN











