RAMALLAH: Israel tidak membenarkan pegawai pilihan raya Palestin memasuki Gaza dan Baitulmuqaddis Timur bagi membuat persiapan untuk pilihan raya perundangan yang dijadualkan pada 28 November ini.
Langkah itu menimbulkan kebimbangan pilihan raya yang sekian lama tertangguh berdepan risiko ditunda sekali lagi, menurut pegawai Palestin kelmarin.
Suruhanjaya Pilihan Raya Pusat Palestin dijadual menyelia persiapan bagi pengundian berkenaan, yang akan membabitkan wilayah Palestin.
Namun, sekatan yang dilaporkan itu mengancam untuk merumitkan usaha mengadakan pengundian di seluruh wilayah Palestin serta membangkitkan semula kebimbangan mengenai peranan Israel dalam menghalang penyertaan politik Palestin.
Agensi berita Wafa melaporkan Israel menghalang suruhanjaya berkenaan daripada memasuki Gaza dan Baitulmuqaddis Timur yang diduduki, memetik seorang pegawai Palestin.
Bagaimanapun, pegawai pilihan raya Palestin berkata persiapan bagi pengundian itu akan diteruskan walaupun berdepan sekatan berkenaan.
Jurucakap Suruhanjaya Pilihan Raya Pusat Palestin, Farid Taamallah, berkata pihaknya masih mampu mengendalikan pilihan raya itu kerana kakitangannya di Gaza sudah menjalani latihan dan kini berada di lapangan.
“Suruhanjaya terus mengatur proses pilihan raya walaupun berdepan keputusan Israel,” katanya.
Kesatuan Eropah (EU) turut meningkatkan sokongan terhadap pelaksanaan pilihan raya berkenaan.
Ketua Dasar Luar EU, Kaja Kallas, berkata blok itu bersedia menghantar pemerhati pilihan raya, sambil menegaskan rakyat Palestin berhak memilih wakil mereka menerusi pilihan raya yang berwibawa, inklusif dan telus.
Pilihan raya pada November itu akan menjadi undian perundangan Palestin yang pertama sejak 2006, ketika Hamas menewaskan Fatah.
Majlis Perundangan Palestin tidak bersidang sejak 2007 selepas perpecahan politik antara kedua-dua kumpulan terbabit semakin ketara.











