PETALING JAYA: Bursa Malaysia dijangka memasuki fasa pemulihan sederhana minggu ini selepas mengalami tekanan jualan ketara minggu lalu, dengan indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dijangka bergerak dalam julat 1,620 hingga 1,650 mata.
Pensyarah Kanan i-CATS University College, Kuching, Profesor Madya Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, indeks penanda aras itu berpotensi ditutup sekitar 1,640 hingga 1,650 mata sekiranya sentimen pasaran global bertambah baik.
Katanya, paras 1,620 mata merupakan tahap sokongan penting, manakala 1,650 mata pula menjadi paras rintangan utama.
“Sekiranya paras 1,650 mata berjaya ditembusi secara kukuh, terdapat ruang untuk FBM KLCI menguji paras 1,660 mata.
“Bagaimanapun, kenaikan dijangka tidak berlaku secara agresif kerana pelabur masih berdepan beberapa ketidaktentuan luaran.
“Antaranya termasuk hasil bon Amerika Syarikat (AS) yang masih tinggi, turun naik harga minyak mentah serta ketegangan geopolitik yang boleh meningkatkan semula risiko inflasi,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut Abu Sofian, data pekerjaan AS yang lebih lemah memberikan sedikit kelegaan kepada pasaran kerana mengurangkan kebimbangan terhadap kemungkinan pengetatan dasar monetari yang lebih agresif oleh Rizab Persekutuan (Fed).
“Pada masa sama, perkembangan Wall Street dan hala tuju kadar faedah AS akan terus menjadi antara pemacu utama sentimen Bursa Malaysia minggu ini.
“Di peringkat domestik, tumpuan juga akan diberikan kepada prestasi sektor perbankan, teknologi, utiliti dan tenaga, selain aliran dana asing,” katanya.
Beliau berkata, secara keseluruhannya, pergerakan pasaran minggu ini lebih mencerminkan pemulihan teknikal dan pengumpulan saham secara selektif, berbanding permulaan satu rali kukuh.
“Pelabur masih dijangka mengambil pendekatan berhati-hati sehingga terdapat isyarat lebih jelas mengenai hala tuju kadar faedah global, harga minyak dan perkembangan geopolitik,” katanya.
Sementara itu, CIMB Securities berkata, FBM KLCI susut 4.33 peratus bulan ke bulan atau 74.71 mata kepada 1,651 mata pada September 2026, sekali gus mencatatkan prestasi bulanan terburuk setakat tahun ini.
“Penurunan itu menjadikan prestasi FBM KLCI bagi tempoh sembilan bulan pertama 2026 susut 1.72 peratus.
“Tekanan jualan berterusan oleh pelabur asing dan peningkatan mendadak hasil bon global mengatasi prestasi ekonomi domestik Malaysia yang kekal berdaya tahan.
“Pelabur asing merekodkan jualan bersih dianggarkan RM1.69 bilion pada September 2026, manakala pegangan asing dalam ekuiti Malaysia susut ke paras terendah sepanjang masa iaitu 17.8 peratus pada akhir September 2026 berbanding 18.1 peratus pada akhir Ogos 2026,” katanya. –UTUSAN











