KOTA BHARU: Golongan pengusaha restoran Melayu di negeri ini mendesak kerajaan mengkaji semula dan menangguhkan cadangan kenaikan gaji minimum berikutan tekanan kos operasi semasa yang kian meningkat.
Pengerusi Persatuan Peniaga dan Pengusaha Restoran Melayu Kelantan (Permeka), Che Saidina Omar Che Daud berkata, pelaksanaan kenaikan gaji minimum secara berterusan hanya menyebabkan harga bahan mentah dan kos logistik melonjak naik secara berantai.
Katanya, industri perkhidmatan makanan dan minuman (F&B) sangat berbeza dengan sektor perkilangan besar kerana ia memerlukan jumlah tenaga kerja yang ramai meskipun untuk menghasilkan margin keuntungan nipis.
“Kami sangat terbeban. Belum pun selesai isu kenaikan kos bahan api dan harga barangan mentah yang melambung tinggi, kini wujud pula desas-desus kenaikan gaji minimum baharu.
“Peniaga restoran perlukan sekurang-kurangnya 10 pekerja walaupun untuk capai jualan RM3,000 sehari. Apabila gaji dinaikkan lagi, margin keuntungan menjadi semakin mengecil dan perniagaan bertukar menjadi ‘bergolok-bergadai,” katanya di sini semalam.
Che Saidina Omar berkata, kesan kenaikan kos bahan mentah sangat ketara menyebabkan sebilangan besar pemilik restoran terpaksa bekerja tanpa mengambil gaji demi memastikan perniagaan kekal beroperasi dan mengelakkan pemberhentian pekerja.
“Realitinya sekarang banyak kedai terpaksa gulung tikar. Daripada maklumat pembekal utama, jika dahulu mereka membekalkan barangan kepada 100 buah kedai, kini jumlah itu menyusut sehingga 50 peratus.
“Setiap bulan ada sahaja restoran yang terpaksa ditutup. Sekarang ini, 60 peratus pemilik restoran berada pada tahap kritikal kerana sudah tidak mampu tanggung kos operasi,” katanya.
Sementara itu, Penasihat Permeka, Nik Hassan Mohd. Zain menggesa kerajaan supaya turun padang dan membuat pertimbangan berfokus kepada sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) sebelum membuat sebarang keputusan dasar.
“Kita bukan menentang hasrat kerajaan menaikkan gaji pekerja tetapi biarlah sesuai dengan keadaan ekonomi semasa. Dalam tempoh lapan tahun, sudah empat kali gaji minimum dinaikkan sedangkan sektor perkhidmatan awam mengambil masa lebih panjang.
“Justeru itu, kami memohon kerajaan dapat mengecualikan sektor PMKS daripada kenaikan gaji minimum ini atau sekurang-kurangnya mengadakan sesi dialog secara terus dengan persatuan peniaga kecil bagi mencari titik penyelesaian,” ujarnya.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, kadar gaji minimum sebanyak RM1,700 dijangka dinaikkan dan perinciannya akan diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2027 hari ini. – UTUSAN











