ACC Piala Shopee: JDT 'bedil' PRK Svay Rieng 6-0 di SSI - Utusan Malaysia

ACC Piala Shopee: JDT ‘bedil’ PRK Svay Rieng 6-0 di SSI

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Johor Darul Ta’zim (JDT) melaungkan amaran awal selepas membelasah PKR Svay Rieng FC 6-0 pada aksi Kumpulan B saingan Kejuaraan Kelab Asean (ACC) Piala Shopee di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), malam tadi.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beraksi di hadapan kira-kira 15,000 penonton, JDT mempamer aksi bertenaga memberi tekanan kepada pasukan pelawat bagi memburu gol awal pada babak pertama itu.

Percubaan pertama pasukan kendalian Xisco Munoz hadir seawal minit ketujuh menerusi hantaran lintang Oscar Arribas kepada Jairo Da Silva namun rembatan pemain kelahiran Brazil itu dinafikan Vireak Dara.

Dara bertindak cemerlang seminit kemudian apabila menafikan percubaan Marcos Guilherme apabila menepis keluar bola rembatan pemain sayap tersebut sebelum Jairo sekali lagi mendatangkan cemas kepada skuad kendalian Matthew McConkey namun tandukan yang dilakukan sedikit tersasar pada minit ke-14.

Skuad The Blue Swords itu tidak hanya berkampung di zon sendiri malah turut mengintai peluang untuk mencipta jaringan, peluang terbaik hadir pada minit ke-15 namun tendangan Peprah Kwame tepat ke dakapan Ahmad Syihan Hazmi Mohamed.

Selain Jairo, Carlos Akapo dan Stoichkov turut berpeluang mencipta serangan ke pintu gol pasukan lawan namun tidak ada satu yang tepat ke sasaran, bagaimanapun peluang terbaik Jairo hadir pada minit ke-36 apabila Dara meluru keluar dari pintu gol untuk mengeluarkan bola namun sepakan lambung dilakukan pemain Brazil itu sedikit tersasar.

Penantian penyokong Harimau Selatan menunggu gol pertama JDT berakhir selepas Arif Aiman Hanafi melepaskan rembatan lerek ke penjuru kiri pintu gol PRK Svay Rieng menewaskan Dara pada minit ke-39.

Bersambung babak kedua, JDT tidak menunggu lama untuk menambah jaringan setelah Guilherme bijak menyudahkan umpanan Jairo dengan melepaskan rembatan kencang melepasi jangkauan Dara pada pada minit ke-51.

Pada minit ke-60, Harimau Selatan menambah jaringan berpunca daripada sepakan penjuru yang diambil Arif Aiman sebelum disudahkan dengan sempurna Kevin Medina yang melakukan tandukan bebas dari jarak dekat.

10 minit berselang, gawang PRK Svay Rieng dibolosi lalu, kali ini menerusi gandingan pemain yang baharu dibawa masuk apabila Ager Aketxe melorongkan bola ke dalam kotak penalti dan Shahab Zahedi pantas menolak bola menerjah gawang lawan pada minit ke-70.

Pada minit ke-78, Daniesh Amirruddin menambah derita buat skuad The Blue Swords apabila menjaringkan gol kelima perlawanan sebaik dibawa masuk oleh Munoz.

Pemain muda berusia 20 tahun itu membuktikan kematangannya apabila tenang menghukum kesilapan pemain pertahanan, Takashi Odawara yang menanduk bola ke belakang dan meletakkan bola ke dalam gawang lawan pada minit ke-85.

Hasrat PRK Svay Rieng untuk mendapatkan gol saguhati pada hujung permainan tidak kesampaian apabila Ahmad Syihan tangkas menafikan percubaan Min Ratanak bagi memastikan gawang JDT tidak dibolosi.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini