SSN Pahang bersaing hoki 5S di Korea

SSN Pahang bersaing hoki 5S di Korea

hoki 5S Sekolah Sukan Negeri (SSN) Pahang akan bersaing dalam kejohanan Hoki 5S Remaja Dunia Seoul 2026 yang berlangsung di Stadium Hoki 5S Han River di Seoul.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Pasukan hoki 5S Sekolah Sukan Negeri (SSN) Pahang telah berlepas ke Korea Selatan untuk mengambil bahagian dalam Kejohanan Hoki 5S Remaja Dunia Seoul 2026 selama lima hari mulai hari ini.

Pasukan itu terdiri daripada 13 pemain hoki sekolah berkenaan yang berusia bawah 15 tahun di bawah bimbingan jurulatih, Mohamad Sabri Mohamad.

Sebanyak 16 pasukan dari beberapa negara akan bersaing dalam kejohanan itu yang berlangsung di Stadium Hoki 5S Han River di Seoul.

Mohamad Sabri berkata, penyertaan pasukan itu bertujuan memberi pendedahan kepada para pemain untuk bersaing di peringkat antarabangsa.

Menurutnya, pasukan itu mahu menimba seberapa banyak pengalaman di peringkat antarabangsa bersama pasukan terbaik Asia seperti Jepun dan Korea.

“Para pemain bertekad memberi saingan sengit apabila berdepan pasukan lebih baik yang memberi kelebihan dalam persiapan perlawanan di peringkat kebangsaan.

“Pasukan SSN Pahang berharap dapat melepasi peringkat separuh akhir dalam kejohanan ini,” katanya kepada Sukan Utusan ketika ditemui di tempat penginapan pasukan itu di Sendayan dekat sini semalam.

Sementara itu, Ketua Pasukan, Nur Alisha Che Zaili berkata, pasukan itu teruja dengan peluang tersebut yang merupakan saingan pertama di peringkat antarabangsa.

“Peluang ini akan kami gunakan untuk memberikan saingan yang terbaik.

“Kami berharap peluang ini akan meningkatkan kualiti permainan apabila bersaing di peringkat tempatan,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×