OEIRAS: Cristiano Ronaldo menegaskan belum tiba masanya untuk bercakap mengenai persaraan apabila legenda Portugal itu kini semakin hampir mencipta satu lagi sejarah dengan memburu gol ke-1,000 dalam kariernya.
Kapten Portugal itu berkata, fokus utamanya ketika ini adalah membantu skuad kebangsaan meraih kejayaan selain terus menikmati setiap detik di atas padang walaupun masa depannya sering menjadi bahan perdebatan.
Bekas bintang Manchester United, Real Madrid dan Juventus itu kini sudah meledak 979 gol sepanjang karier, termasuk 833 gol di peringkat kelab dan 146 lagi bersama Portugal, sekali gus hanya memerlukan 21 jaringan untuk mencapai angka keramat 1,000 gol.
Ketika ditanya sama ada lebih mengutamakan trofi Liga Negara-Negara atau pencapaian peribadi tersebut, Ronaldo tanpa berselindung mengakui dia mahu kedua-duanya.
“Satu matlamat ialah mencapai kedua-duanya, menjaringkan 1,000 gol dan pada masa sama membantu pasukan kebangsaan memenangi Liga Negara-Negara.
“Ia era baharu bersama Jorge Jesus yang kita semua kenal. Saya berharap segala-galanya berjalan lancar untuknya,” kata pemain berusia 41 tahun pada Portugal Football Summit di ibu pejabat Persatuan Bolasepak Portugal (FAP).
Ronaldo turut menyifatkan gol ke-1,000 bersama Portugal sebagai satu detik istimewa yang mampu melengkapkan perjalanan karier luar biasanya yang menjangkau lebih dua dekad.
“Menjaringkan gol ke-1,000 untuk pasukan kebangsaan akan menjadi kemuncak kepada sesuatu, sebuah kisah yang indah.
“Ia bukan pengakhirannya, tetapi ia akan menjadi sebuah kisah yang indah,” ujarnya.
Bagaimanapun, pemenang lima Ballon d’Or itu menegaskan dia tidak terlalu terobsesi dengan angka berkenaan, sebaliknya lebih memilih untuk menikmati setiap detik yang masih dimiliki sebagai pemain profesional.
Ronaldo turut mengakui dia pernah mempertimbangkan masa depannya bersama Portugal selepas kegagalan di Piala Dunia, namun perbincangan bersama FAP dan Jorge Jesus meyakinkannya untuk terus menyarung jersi kebangsaan.
Menyentuh soal persaraan, Ronaldo memilih untuk tidak menetapkan sebarang tarikh dan percaya dia perlu menghargai setiap peluang yang masih ada di pentas tertinggi bola sepak.
“Saya belajar sesuatu sejak penghujung usia 30-an, hidup untuk saat ini dan jangan terlalu memikirkan hari esok.
“Adakah ia mungkin berlaku? Ya. Sangat berkemungkinan? Ya. Tetapi adakah ia akan berlaku? Saya tidak tahu,” katanya.-AGENSI











