PETALING JAYA: Skuad sepak takraw kebangsaan menerima tamparan menjelang Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 apabila perejam utama, Muhammad Noraizat Mohd Nordin terpaksa diketepikan akibat kecederaan otot betis kanan ketika sesi latihan.
Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) memaklumkan Noraizat disahkan tidak dapat beraksi selepas menjalani pemeriksaan, sekali gus mendorong pihaknya mengemukakan permohonan pertukaran pemain kepada Olympic Council of Asia (OCA) menerusi Majlis Olimpik Malaysia (MOM).
Muhammad Shahalril Aiman Halim kemudian dinamakan sebagai pemain pengganti bagi mengisi kekosongan tersebut.
Ketua jurulatih skuad sepak takraw negara, Ahmad Jais Baharun berkata, beliau menerima situasi yang berlaku dengan hati terbuka dan percaya setiap pemain mempunyai kekuatan serta kelebihan tersendiri.
“Saya kena terima dengan hati terbuka atas apa yang berlaku kepada Noraizat. Bagi saya, setiap pemain ada kekuatan dan kelebihan masing-masing. Semoga ada hikmah di sebalik apa yang berlaku ini.
“Aiman pun mempunyai pengalaman beraksi di peringkat antarabangsa. Mungkin daripada susunan pemain dalam setiap regu akan ada sedikit perubahan.
“Pada saya, Aiman juga mampu memberikan sumbangan untuk kem sepak takraw negara. Insya-Allah,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Ahmad Jais turut mengakui kemungkinan berlaku perubahan terhadap susunan pemain dalam setiap regu susulan penggantian berkenaan.-UTUSAN











