PETALING JAYA: Kejayaan cemerlang Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 tidak harus membuatkan Malaysia terlalu selesa, sebaliknya perlu dijadikan titik permulaan untuk memburu pencapaian lebih tinggi di Sukan Olimpik.
Ketua Kontinjen (CDM), Datuk Mohd Sumali Reduan berkata, pencapaian di Jepun memberikan petunjuk mengenai kekuatan atlet negara, selain mendedahkan ruang yang masih perlu diperbaiki bagi memastikan prestasi Malaysia terus meningkat secara konsisten.
“Kita tidak boleh berpuas hati. Selepas temasya ini, saya fikir kita perlu membuat penilaian secara menyeluruh bukan sahaja terhadap keputusan pingat, tetapi juga secara keseluruhan.
“Kita kena melihat prestasi setiap atlet, aspek teknikal dan taktikal, kekuatan mental, sains sukan, kecergasan, pemakanan serta proses pemulihan untuk meningkatkan keupayaan atlet,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Malaysia mencatat pencapaian membanggakan di Aichi-Nagoya apabila meraih sembilan emas, melepasi sasaran enam emas yang ditetapkan sebelum temasya, menerusi sumbangan karate, e-sukan, skuasy dan sepak takraw, basikal trek
Pencapaian itu turut memperlihatkan kemampuan atlet negara bersaing dengan barisan terbaik Asia, selain membuktikan bahawa beberapa sukan yang menjadi sandaran kontinjen masih mampu menghasilkan kejayaan di pentas tertinggi benua.
Mohd Sumali berkata, perkara paling penting selepas kejayaan tersebut ialah memastikan kesinambungan supaya prestasi yang dicapai tidak terhenti selepas temasya berakhir.
“Bagi saya, perkara paling penting selepas ini ialah kesinambungan. Atlet yang mempunyai potensi perlu dikenal pasti lebih awal dan diberikan program jangka panjang, pendedahan pertandingan antarabangsa yang lebih berkualiti serta sokongan berterusan daripada MSN, ISN, MOM dan persatuan sukan kebangsaan,” katanya.
Menurut beliau, pendekatan jangka panjang itu amat penting bagi memastikan atlet berpotensi tidak hanya bersedia untuk satu temasya, sebaliknya dibangunkan secara sistematik bagi menghadapi cabaran yang lebih besar.
Katanya, tumpuan selepas ini perlu diberikan kepada persiapan menuju Sukan Olimpik kerana tahap persaingannya jauh lebih tinggi berbanding Sukan Asia, sekali gus menuntut perancangan yang lebih terperinci.
“Lebih-lebih lagi apabila kita bercakap mengenai Sukan Olimpik, tahap persaingannya jauh lebih tinggi. Kita perlu memberi fokus kepada sukan dan atlet yang mempunyai potensi untuk layak dan bersaing dengan kompetitif di pentas Olimpik, tanpa mengabaikan pembangunan bakat baharu,” katanya.
Mohd Sumali berkata, kejayaan di Aichi-Nagoya memberikan gambaran jelas mengenai kekuatan yang dimiliki Malaysia, namun pada masa sama segala kelemahan perlu dikenal pasti dan ditangani dengan segera.
“Sukan Asia ini memberikan kita banyak petunjuk tentang kekuatan kita dan ruang yang masih perlu diperbaiki. Yang penting, segala data, pengalaman dan pengajaran daripada temasya ini perlu diterjemahkan kepada tindakan,” katanya.
Beliau percaya Malaysia mempunyai kelompok atlet yang mampu pergi lebih jauh sekiranya diberikan sokongan, program pembangunan dan pendedahan antarabangsa secara berterusan.
“Kita sudah membuktikan bahawa atlet Malaysia mempunyai kemampuan. Sekarang cabaran kita ialah bagaimana untuk meningkatkan lagi standard tersebut supaya Malaysia bukan sahaja berjaya di peringkat Asia, tetapi mampu memberikan cabaran yang lebih kuat di pentas Olimpik,” katanya. – UTUSAN
KAPSYEN
SKUAD skuasy negara menjadi penyumbang terbesar kontinjen selepas menyumbang empat daripada sembilan emas yang diraih kontinjen negara. – IHSAN MSN











