Miliki ganja 2.5kg, warga Sri Lanka dipenjara 10 tahun, 12 sebatan

Miliki ganja 2.5kg, warga Sri Lanka dipenjara 10 tahun, 12 sebatan

MAHKAMAH KUALA LUMPUR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pendandan rambut warga Sri Lanka dipenjara 10 tahun dan 12 sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas kesalahan memiliki ganja seberat 2.57 kilogram (kg), dua tahun lalu.

Hukuman itu diputuskan Hakim Datuk Aslam Zainuddin selepas tertuduh, Dasham Novada Wickramathunga, 33, mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa Sri Lanka.

Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh tangkap iaitu pada 6 April 2024.

Memuatkan artikel berkaitan…

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memiliki dadah berbahaya jenis kanabis (ganja) seberat 2.57 kg di sebuah unit kondominium di Jalan Ipoh, di sini, pada pukul 11.30 malam, 6 April 2024.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau penjara minimum lima tahun dan sebatan tidak kurang 10 kali.

Berdasarkan fakta kes, satu serbuan di lokasi sama telah dibuat oleh pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul berhubung siasatan kes kecurian bungkusan (parcel).

Pemeriksaan di premis itu membawa kepada penemuan pelbagai paket disyaki ganja dan methamphetamine serta 6 keping kerajang aluminium mengandungi pil Erimin-5.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Fadhly Mohd. Zamry mencadangkan hukuman berat dikenakan terhadap tertuduh mengambil kira faktor kepentingan awam serta trend peningkatan kes dadah yang semakin membimbangkan.

“Berkenaan dengan kekerapan kesalahan yang melibatkan gejala dadah di Malaysia pada ketika ini, saya percaya pihak mahkamah sedia maklum terdapat peningkatan yang serius.

“Faktor tersebut perlu dipertimbangkan dalam menjatuhkan hukuman bagi memastikan perkara ini dijadikan teladan bukan sahaja terhadap tertuduh, malah terhadap masyarakat secara menyeluruh,” katanya.

Peguam, Zulkifli Awang mewakili tertuduh memohon hukuman ringan atas alasan anak guamnya yang telah hilang punca pendapatan, mempunyai tanggungan ibu bapa yang sudah tua di negara asal selain merupakan pesalah kali pertama.

“Tempoh berada di dalam tahanan sejak ditangkap pada tahun 2024 sehingga ke hari ini telah memberi satu iktibar kepada tertuduh. Dia juga telah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi perkara ini lagi.

“Saya mohon belas kasihan mahkamah untuk melihat tertuduh bukan sahaja dari segi mata kehakiman, tapi melihat juga beliau sebagai seorang insan yang bersedia mengaku salah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×