KKDW tidak belanja melebihi peruntukan - Ahmad Zahid

KKDW tidak belanja melebihi peruntukan – Ahmad Zahid

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA: Tiada sebuah kementerian yang membelanjakan peruntukan melebihi jumlah yang ditetapkan dalam Belanjawan, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata, perbelanjaan kementerian perlu dilaksanakan berdasarkan peruntukan yang disediakan serta mematuhi ketetapan dan arahan Perbendaharaan.

“Tidak pernah ada sebuah kementerian yang membelanjakan lebih daripada yang diperuntukkan.

“Apa yang dibelanjakan, itu secara tidak langsung menjawab persoalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Johan Mahmood Merican walaupun beliau tidak ada di sini,” katanya ketika berucap pada Sesi Pembukaan Bengkel Kerjasama Strategik Pusat Komuniti Desa (PKD) dan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di sini hari ini.

Sebelum ini, Ahmad Zahid mendedahkan wujud isu kelewatan pembayaran kepada kontraktor yang melaksanakan projek pembangunanan di bawah kementeriannya.

Bagaimanapun, Ketua Setiausaha Perbendaharaan dalam kenyataan menafikan terdapat sebarang sekatan terhadap peruntukan KKDW bagi projek jalan luar bandar, sebaliknya keseluruhan peruntukan berkenaan telah disalurkan.

Malah, Johan turut menjelaskan, kekangan dalam proses pembayaran kepada kontraktor berpunca daripada peruntukan tahun semasa yang hampir keseluruhannya telah dibelanjakan selain MOF telah meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM300 juta bagi membantu menyelesaikan tunggakan bayaran.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, kejayaan sesebuah kementerian tidak seharusnya dinilai hanya berdasarkan jumlah program dilaksanakan, bilangan peserta atau jumlah peruntukan yang dibelanjakan.

“Di KKDW, kita berpegang kepada prinsip bahawa kejayaan tidak boleh dinilai hanya melalui jumlah program atau bilangan peserta atau berapa bajet yang telah dibelanjakan,” katanya.

Katanya, ukuran keberhasilan perlu beralih daripada sekadar menghitung aktiviti kepada melihat perubahan yang dicapai hasil pelaksanaan sesuatu program. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×