KUALA LUMPUR: Kontinjen Malaysia meletakkan sasaran enam pingat emas pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 yang akan berlangsung dari 19 September hingga 4 Oktober ini.
Ketua Kontinjen Sukan Asia 2026, Datuk Sumali Reduan berkata, sasaran itu turut merangkumi tujuh perak dan 20 gangsa, sekali gus menjadikan keseluruhan 33 pingat yang diburu kontinjen negara.
Menurutnya, sasaran tersebut ditetapkan berdasarkan prestasi semasa atlet, rekod pencapaian terkini serta potensi pingat dalam setiap sukan yang disertai.
“Sasaran ini adalah realistik berdasarkan prestasi dan juga pencapaian terkini. Semua tahu ini adalah satu temasya yang besar, Sukan Asia bukan Sukan SEA. Sudah pastilah cabarannya pun lebih besar.
“Namun begitu, kita juga berharap ada bonus daripada sasaran emas. Kalau kita lihat sasaran kita tujuh perak dan 20 gangsa, sudah pastilah peluang perak kepada emas itu mungkin ada,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Jalur Gemilang kontinjen negara ke Aichi-Nagoya 2026, dekat Bukit Jalil, semalam.
Sebanyak 13 sukan dikenal pasti sebagai penyumbang kepada sasaran pingat negara, antaranya lumba basikal trek, badminton, memanah, terjun, skuasy, sepak takraw, hoki, olahraga, pelayaran, karate, wushu, e-sukan dan menembak.
Kontinjen Malaysia bagi Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 membabitkan 352 atlet dan 185 pegawai yang akan bersaing dalam 156 acara daripada 30 jenis sukan.- UTUSAN










