Hamilton nafi desak rombak staf Ferrari

Hamilton nafi desak rombak staf Ferrari

Lewis Hamilton
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Lewis Hamilton menafikan dakwaan bahawa dia mendesak ketua pasukan Ferrari, Fred Vasseur, menggantikan beberapa anggota staf pasukan Formula Satu (F1) itu susulan hubungan mereka yang dikatakan semakin tegang.

Juara dunia tujuh kali itu tampil menjawab laporan media Itali, yang mendakwa dia mahu perubahan dilakukan terhadap operasi Ferrari, termasuk menukar beberapa anggota pasukan.

Menerusi Instagram, Hamilton menegaskan dia tidak pernah meminta mana-mana anggota pasukannya digantikan, sekali gus menepis spekulasi yang mengaitkannya dengan rombakan dalaman pasukan.

“Saya melihat beberapa laporan yang disiarkan dan saya mahu menjelaskannya di sini. Saya tidak pernah meminta sesiapa dalam pasukan saya digantikan,” tulis pelumba Britain berusia 41 tahun itu.

Hamilton turut menyatakan sokongan penuh terhadap barisan staf yang bekerja dengannya, sambil menegaskan dedikasi mereka menjadi antara faktor penting dalam usaha pasukan untuk terus bergerak ke hadapan.

“Semua orang yang bekerja dengan saya bekerja keras setiap hari dan dedikasi mereka inilah yang membantu kami bergerak ke hadapan.

“Saya sentiasa cuba memberikan kuasa dan sokongan kepada mereka supaya menjadi versi terbaik diri mereka atau sekurang-kurangnya melihat sisi terbaik dalam diri mereka,” katanya.

Kenyataan itu hadir ketika kempen Hamilton bersama Ferrari berdepan cabaran, termasuk kegagalannya menamatkan perlumbaan buat kali pertama musim ini pada Grand Prix (GP) Sepanyol selepas jentera yang dipandunya mengalami masalah sistem brek.

Kegagalan berkenaan turut menjejaskan peluang tipis Hamilton dalam perebutan kejuaraan dunia F1 2026 apabila dia kini ketinggalan 101 mata di belakang pendahulu, Andrea Kimi Antonelli.

Hamilton secara tidak langsung mengakui peluangnya semakin tertutup selepas menyifatkan Mercedes dan Antonelli sebagai pasukan serta pelumba yang ‘tidak akan dapat dihentikan’ musim ini, kini mengumpul 191 mata di tangga ketiga kejuaraan, 24 mata mengatasi rakan sepasukannya di Ferrari, Charles Leclerc.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×