Boikot jenama Adidas kerana guna bekas tentera Israel sebagai wajah kempen

Boikot jenama Adidas kerana guna bekas tentera Israel sebagai wajah kempen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Adidas berdepan gesaan boikot selepas menampilkan bekas anggota tentera Israel, Shalev Biton, dalam kempen mempromosikan perkhidmatan Single Shoe Service, lapor Anadolu.

Perkhidmatan itu membolehkan pelanggan yang hanya memerlukan sebelah kasut membeli kasut secara individu, bukannya sepasang.

Aktivis hak asasi manusia dan pengguna media sosial menggesa boikot terhadap syarikat berkenaan, selain mempersoalkan keputusan Adidas menggunakan bekas anggota tentera Israel bagi mempromosikan inisiatif berkaitan aksesibiliti untuk golongan kurang upaya ketika perang di Gaza.

Biton kehilangan kaki kirinya selepas cedera dalam pertempuran berhampiran Gaza pada Mei 2021.

Kemunculannya dalam kempen itu mencetuskan persoalan mengenai pendekatan Adidas terhadap isu kecacatan, khususnya ketika jumlah mangsa yang kehilangan anggota badan di Gaza terus meningkat akibat konflik berkenaan.

Menurut anggaran Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang dikeluarkan pada Mei 2026, lebih 5,000 kes amputasi anggota badan akibat kecederaan trauma dan lebih 22,000 kecederaan serius pada anggota badan direkodkan di Gaza sejak Oktober 2023.

Rayuan terbaharu UNICEF bagi Palestin pula menyatakan lebih 11,000 kanak-kanak mengalami kecederaan yang mengubah kehidupan setakat 3 Februari 2026.

Laporan CNN pada Januari 2024 yang memetik Save the Children dan UNICEF menyebut secara purata lebih 10 kanak-kanak di Gaza kehilangan satu atau kedua-dua kaki setiap hari sejak 7 Oktober 2023.

Menjelang Disember tahun berkenaan, kira-kira 1,000 kanak-kanak dilaporkan telah kehilangan satu atau kedua-dua kaki.

WHO turut melaporkan seramai 2,277 individu yang menjalani amputasi telah dinilai antara September 2024 hingga Mei 2026, manakala 502 daripada mereka telah menerima anggota prostetik.

Menurut WHO, Gaza berdepan kekurangan besar dalam perkhidmatan pemulihan serta peralatan bantuan untuk golongan kurang upaya.

WHO sebelum ini melaporkan lebih 42,000 penduduk Gaza mengalami kecederaan yang memerlukan rawatan pemulihan jangka panjang.

Pengkritik mempersoalkan sama ada rakyat Palestin yang kehilangan anggota badan menerima perhatian sewajarnya dalam perbincangan mengenai aksesibiliti.

Sebahagian besar kritikan tertumpu kepada pemilihan Biton sebagai wakil kempen Adidas serta keadaan politik yang melatari perang di Gaza, bukannya terhadap perkhidmatan Single Shoe Service itu sendiri.

Kempen berkenaan turut mencetuskan perbincangan di media sosial mengenai keputusan Adidas memilih Biton sebagai wakil, mengambil kira latar belakang ketenteraannya serta konteks lebih luas konflik di Gaza.

Pelakon Sepanyol, Javier Bardem, turut menggesa pengikutnya memboikot Adidas menerusi hantaran di media sosial susulan keputusan syarikat itu mempromosikan Single Shoe Service di Israel melalui Biton, bekas anggota tentera Israel.

Adidas memperkenalkan Single Shoe Service di Eropah pada 19 Januari 2026 sebelum mengumumkannya secara rasmi pada Mac.

Syarikat itu berkata perkhidmatan berkenaan ditawarkan di kedai milik Adidas di 23 negara Eropah.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×