84 pemain rebut tiket wakili Malaysia ke pentas golf dunia

84 pemain rebut tiket wakili Malaysia ke pentas golf dunia

ISAC Saminathan (tiga dari kanan), Mohd. Jamal Salleh (kiri) pada majlis pelancaran Kejohanan Akhir Dunia World Amateur Golfers Championship (WAGC) 2026 di Johor, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seramai 84 pemain golf amatur terbaik negara bakal berentap pada Final Kebangsaan Perodua National Amateur Golf Series (PNAGS) 2026 bagi merebut peluang mewakili Malaysia pada Kejohanan Golf Amatur Dunia (WAGC) 2026.

Final kebangsaan itu akan berlangsung di Templer Park Country Golf Club dari 27 hingga 29 September ini dengan peserta turut bersaing merebut kejuaraan kebangsaan dan gelaran Juara Berpasukan Negeri.

Pemenang kejohanan berkenaan seterusnya akan membawa cabaran Malaysia pada Final Dunia WAGC 2026 di Desaru Coast, Johor dari 23 hingga 31 Oktober depan.

PNAGS berkata, format pertandingan tahun ini diperbaharui dengan memperkenalkan lima kategori pingat iaitu A hingga E, selain gelaran Juara Gross bagi memberikan peluang persaingan merentasi tahap handikap berbeza.

“Final Kebangsaan PNAGS bukan sekadar sebuah kejohanan, tetapi menjadi pintu masuk ke pentas dunia.

“Pemenang akan membawa bendera Malaysia ke Final Dunia WAGC 2026 yang berlangsung bersempena Tahun Melawat Malaysia dan Tahun Melawat Johor 2026,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Final Dunia WAGC 2026 dijangka menghimpunkan lebih 650 pemain golf dan delegasi dari lebih 50 negara di Desaru Coast.

Penganjuran tersebut dapat mengetengahkan Malaysia sebagai destinasi pelancongan golf menerusi kemudahan padang bertaraf dunia, hospitaliti dan kepelbagaian budaya negara.

Pengerusi Perodua, Tan Sri Asmat Kamaludin berkata, syarikat itu berbangga meneruskan sokongan sebagai penaja utama Final Dunia WAGC selepas lebih sedekad menyokong PNAGS dalam pembangunan bakat golf di peringkat akar umbi.

“Kejuaraan ini mencerminkan komitmen kami terhadap sukan, pelancongan dan membina persahabatan antarabangsa melalui golf,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Tourism Malaysia, Datuk Manoharan Periasamy berkata, penyertaan dari lebih 50 negara menjadikan WAGC platform penting untuk memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi utama pelancongan golf.

“WAGC World Final merupakan platform yang berkesan untuk mengetengahkan kepelbagaian produk pelancongan Malaysia.

“Dengan peserta dari lebih 50 negara, acara ini memperkukuh kedudukan kita sebagai destinasi utama pelancongan golf, selain menyokong kempen Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya.

Selain itu, Pengarah Tourism Johor, Mohammad Nazrul Abd. Rahim pula berkata, penganjuran kejohanan tersebut memberi peluang kepada negeri itu untuk mengetengahkan padang golf bertaraf dunia, kebudayaan serta hospitaliti Johor kepada peserta antarabangsa.

Presiden Johor Golf Tourism Association (JGTA), Col. Jamal Mohd. Salleh berkata, penganjuran Final Dunia WAGC turut mencerminkan kedudukan Johor yang semakin berkembang sebagai hab pelancongan golf.

Presiden WAGC, Isac Saminathan pula berkata, kejohanan berkenaan bukan hanya mengenai persaingan, malah menjadi wadah kepada perpaduan dan pertukaran budaya antara peserta dari pelbagai negara.

Final Kebangsaan PNAGS 2026 mendapat sokongan Perodua selaku penaja utama selain Tourism Malaysia, Tourism Johor dan Kementerian Belia dan Sukan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×