Sheikh Abdullah Al-Haris sasar wakili negara dalam sukan golf

Sheikh Abdullah Al-Haris sasar wakili negara dalam sukan golf

SHEIKH Abdullah Al-Haris bin Sheikh Mohd Zaki jalani latihan untuk tingkatkan prestasi dalam bidang golf dengan aspirasi untuk mewakili negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pemain golf muda Sheikh Abdullah Al-Haris Sheikh Mohd Zaki menyasarkan untuk mewakili negara dalam sukan golf di peringkat antarabangsa.

Pemain muda yang pernah mencapai kedudukan antara 10 pemain terbaik dalam Sirkit Golf Remaja Kedah (SRGK) ini kini giat menjalankan latihan dalam usaha mencapai sasarannya, termasuk berlatih di Leeds Golf Academy di United Kingdom dan menyertai kejohanan golf di sana.

SRGK merupakan kejohanan golf remaja tempatan yang diiktiraf dalam penyenaraian golf amatur dunia (World Amateur Golf Ranking).

Baru berusia 12 tahun dan bersekolah di Integrated Islamic School Puncak Jalil di Tahun Enam program IGCSE, pemain golf dengan handicap 15 ini berlatih di bawah bimbingan Ravichandran M Munusamy dan telah menceburi sukan ini sejak usia lapan tahun.

SHEIKH Abdullah Al-Haris (tengah) bersama bapanya Dato Sheikh Mohd Zaki (kiri) dan pelatih Ravichandran M Munusamy (kanan) semasa di Kejohanan Terbuka Golf Junior di Leeds, England baru-baru ini.

Bermula dari menyertai Junior Eagle Golf Tournament di Kinrara, Puchong pada tahun 2023, pemain cilik yang lebih mesra dipanggil Haris ini telah menyertai sekurang-kurangnya tujuh perlawanan golf dalam dan luar negara.

Ini termasuk Junior Open Golf Tournament di Leeds, England di mana pengalaman bersaing dengan lebih 60 peserta di peringkat antarabangsa sambil mengembangkan jaringan hubungan dengan rakan-rakan sebaya sukan golf seluruh dunia serta menimba pengalaman dari sudut latihan dan teknik kemahiran baru merupakan antara sorotan paling berharga dalam perjalanan golfnya.

BERSAMA Alex Cooper dari pasukan penganjur Junior Open Golf Tournament, Leeds, England di mana Sheikh Abdullah Al-Haris mengikuti latihan dan menyertai kejohanan di Leeds Golf Centre England baru-baru ini untuk menimba pengalaman dalam sukan golf antarabangsa.

Meminati pemain golf legenda Tiger Woods serta pemain Malaysia, Gavin Green sebagai inspirasi dirinya, Haris sedang bekerja keras demi mencapai cita-citanya dengan menumpukan fokus pada latihan wajib selama 18 jam seminggu dan menyertai pertandingan terbuka setiap tahun untuk mengasah kemahiran dan mengembangkan teknik dalam disiplin golf.

Pada masa yang sama, Haris juga perlu menumpukan perhatian kepada pendidikannya di mana pelajar yang telah mencapai 7A dalam Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK) pada tahun 2025 ini menyeimbangkan sukan dan pembelajaran dengan mengikuti jadual yang ketat dan padat agar dapat berjaya dalam kedua-dua minat serta tanggungjawabnya sebagai ahli sukan dan pelajar.

SHEIKH Abdullah Al-Haris berlatih selama 18 jam seminggu untuk mengasah kemahiran dan mengembangkan teknik dalam disiplin golf demi mencapai cita-citanya.

Untuk berjaya, beliau berpegang kepada prinsip tidak mudah berpuas hati dengan pencapaian semasa dan sentiasa berusaha untuk menjadi yang terbaik.

Antara aktiviti akan datang bagi Haris termasuk bakal bertarung dalam Kejohanan Golf 100PLUS Persatuan Golf Malaysia (MGA) Program Pembangunan Remaja Kebangsaan (NJDP) Junior Series Grand Final 2026 di The Mines Resort Golf Club di bulan Oktober dan Malaysia International Junior Open di Tanjong Puteri Golf and Resort, Johor pada November ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×