PETALING JAYA: Lebih 650 pemain golf amatur dan delegasi dari lebih 50 negara dijangka berhimpun di Johor sempena penganjuran Kejohanan Akhir Dunia World Amateur Golfers Championship (WAGC) 2026 pada 23 hingga 31 Oktober depan.
Kejohanan yang kembali ke Johor buat kali kedua dan ke Malaysia buat kali kelima itu dilihat mampu mengukuhkan kedudukan negara sebagai destinasi pelancongan golf utama menerusi Tahun Melawat Johor 2026 dan Tahun Melawat Malaysia 2026.
Pelancaran rasmi kejohanan tersebut berlangsung di Pusat Maklumat Pelancongan Johor (JOTIC) semalam dengan kehadiran wakil Tourism Malaysia, Tourism Johor, Persatuan Pelancongan Golf Johor (JGTA), Delta World, Perodua, Desaru Coast, rakan industri, penaja dan pengamal media.
Kejohanan itu dijangka memberi limpahan ekonomi kepada pelbagai sektor termasuk penginapan, pengangkutan, makanan dan minuman, peruncitan, rekreasi serta perkhidmatan tempatan.
Selain itu, penganjuran Kejohanan Akhir Dunia WAGC 2026 juga menjadi platform strategik untuk meningkatkan ketibaan pelancong antarabangsa, menambah hasil pelancongan dan mengangkat profil Malaysia sebagai destinasi pelancongan golf utama dunia.
Program pelancaran turut menampilkan persembahan kebudayaan yang meraikan warisan Johor serta pembentangan multimedia bertemakan WAGC World Final 2026 – The Race to Desaru Coast, Johor, Malaysia’.
Kejohanan itu akan diadakan di Desaru Coast dengan penginapan rasmi disediakan oleh Hard Rock Hotel Desaru Coast dan The Westin Desaru Coast Resort.
Saingan pula akan berlangsung di tiga padang golf bertaraf antarabangsa iaitu The Els Club Desaru Coast, Forest City Golf Resort dan Tanjung Puteri Golf Resort.
Kejohanan Akhir Dunia WAGC 2026 turut menerima penyertaan negara baharu iaitu Austria, Azerbaijan, Cyprus, El Salvador, Georgia, Ireland, Mauritius, Mexico, Monaco, Mongolia, Thailand dan Ukraine.
Presiden WAGC, Isac Saminathan berkata, kejohanan tersebut bukan sekadar pertandingan golf, malah menjadi platform global yang menyatukan masyarakat, budaya dan peluang menerusi sukan.
“Kami berbesar hati untuk kembali ke Johor iaitu sebuah destinasi yang menawarkan kemudahan golf bertaraf tinggi, layanan hospitaliti yang luar biasa dan pengalaman pelawat yang tidak dapat dilupakan.
“Penganjuran kejohanan ini juga amat signifikan kerana ia menyokong Tahun Melawat Johor 2026 dan Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya.
Presiden JGTA, Kol. (B) Mohd. Jamal Salleh pula berkata, pemilihan Johor sebagai tuan rumah buat kali kedua mencerminkan keyakinan komuniti golf antarabangsa terhadap kemampuan negeri itu menganjurkan acara bertaraf dunia.
“Kejohanan itu bukan sahaja mengenai golf, malah menjadi platform untuk memperkenalkan kekuatan Johor sebagai destinasi pelancongan yang dinamik dan mewujudkan peluang ekonomi kepada komuniti serta perniagaan tempatan,” ujarnya.
Sementara itu, Pengerusi Tourism Malaysia, Datuk Manoharan Periasamy berkata, Kejohanan Akhir Dunia WAGC 2026 membuka peluang besar untuk terus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan sukan utama, khususnya dalam segmen golf. – UTUSAN







