PETALING JAYA: Pukulan Hole-In-One Mohd. Hizarudin Johari yang pertama dalam karier golfnya berjaya mencipta kejutan Kejohanan Kelayakan Siri Golf Amatur Nasional Perodua (PNAGS) Melaka di A’Famosa Golf Resort, baru-baru ini.
Lebih manis, kejayaan itu hadir selepas 18 tahun beliau aktif dalam sukan golf.
Pemain berhandicap 15 dari Kluang, Johor itu melakukan pukulan sempurna itu di Hole 12, Par 3 Palm Course dari jarak 159 meter sebelum bola terus memasuki lubang.
Kejayaan bertuah itu turut menghadiahkan beliau tiket penerbangan pergi balik AirAsia untuk dua orang dari Kuala Lumpur ke Macau dan jam tangan jenama Iroas bernilai RM3,600.

Pengerusi Penganjur PNAGS, Lokman Ishak berkata, pencapaian Mohd. Hizarudin menjadi simbol semangat dan ketabahan pemain golf amatur negara.
“Hole-In-One bukan sesuatu yang mudah dicapai. Ia memerlukan ketepatan, fokus dan tuah. Kejayaan Mohd. Hizarudin pastinya menjadi kenangan yang cukup bermakna,” katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, kali terakhir pencapaian Hole-In-One direkodkan dalam kejohanan PNAGS ialah pada pusingan kelayakan Selangor 2023 di Kota Permai Golf & Country Club.
Dalam pada itu, Mohd. Firdaus Sabri muncul juara kategori Gross Champion selepas mencatat 76 gross menerusi aksi konsisten sepanjang kejohanan.
Bagi kategori Strokeplay Nett Medal, juara Meda A milik Nuralif Mohd. Zahari selepas mencatat 72 nett, manakala Medal B dimenangi Mohd Faizal Mohmad Sahibek dengan 69 nett.
Norzaiful Rizal pula muncul juara Medal C dengan 68 nett diikuti Mohd. Yusaa Mohd. Noor yang memenangi Medal D dengan jumlah sama.
Kategori Medal E menjadi milik Zambry Fareed Moh Norden selepas turut mencatat 68 nett.
Kesemua juara membawa pulang pakej eksklusif Final Kebangsaan PNAGS 2026 selama tiga hari dua malam termasuk dua pusingan kejohanan di Templer Park Country Golf Club dan penginapan hotel.
Mereka akan mewakili Melaka ke Final Kebangsaan PNAGS 2026 bersama juara dari 14 negeri lain.
Kejohanan itu disempurnakan Pengerusi Perodua, Tan Sri Asmat Kamaludin yang menyampaikan hadiah kepada para pemenang.
Sementara itu, Presiden WAGC, Isac Saminathan berkata, Malaysia bakal menjadi tuan rumah WAGC World Final 2026 di Desaru Coast, Johor melibatkan 50 negara dan lebih 650 peserta.
Katanya, PNAGS menjadi platform penting dalam melahirkan pemain golf amatur terbaik negara untuk bersaing di pentas antarabangsa. – UTUSAN










