PETALING JAYA: Sebanyak 108 pasukan sekolah dan kelab dari seluruh negara bakal memeriahkan Karnival Ragbi Johor 2026 Edisi Ke-14 yang dijadual berlangsung di Stadium Ragbi Johor, Kompleks Sukan Mount Austin bermula esok hingga Ahad ini.
Kejohanan yang dianggap antara acara terbesar dalam kalendar ragbi tempatan itu dijangka menjadi medan sengit buat pemain muda menonjolkan bakat masing-masing selain memperkukuh pembangunan sukan berkenaan di peringkat akar umbi.
Penganjuran oleh Kesatuan Ragbi Negeri Johor (JRU) dengan kerjasama Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ), Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) dan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) itu mempertandingkan empat kategori utama iaitu Bawah 16 Tahun Lelaki, Bawah 14 Tahun Lelaki, Bawah 11 Tahun Lelaki serta Bawah 16 Tahun Perempuan.
Turut mencuri perhatian ialah kehadiran Sekolah Sukan Negeri Tun Hussein Onn (THOR) yang turun dengan misi mempertahankan kejuaraan selepas muncul juara berganda dalam kategori Bawah 14 Tahun dan Bawah 16 Tahun Lelaki pada edisi lalu.
Selain pasukan-pasukan dari Semenanjung, penyertaan wakil dari Sabah dan Sarawak dijangka menambah sengat persaingan sekali gus membuktikan perkembangan positif sukan ragbi yang semakin mendapat tempat dalam kalangan generasi muda di seluruh negara.
Presiden Kesatuan Ragbi Negeri Johor, Datuk Mohd Noorazam Datuk Osman berkata, kejohanan yang memasuki edisi ke-14 itu semakin mengukuhkan kedudukannya sebagai antara platform penting dalam pembangunan ragbi negara.
“Setelah 14 edisi berlangsung, Karnival Ragbi Johor telah menjadi antara acara yang penting dalam kalendar sukan ragbi di Malaysia.
“Penganjuran karnival ini juga selari dengan aspirasi Kerajaan Negeri Johor, khususnya dalam Tahun Melawat Johor 2026 serta usaha untuk terus mengembangkan ekosistem ragbi di negeri Johor.
“Melalui penganjuran kejohanan seperti ini, kita dapat menyediakan platform yang lebih luas kepada pemain-pemain muda untuk mendapatkan pengalaman pertandingan, mencungkil bakat baharu serta memperkukuhkan pembangunan ragbi di peringkat akar umbi,” katanya.
Beliau berkata, pihak penganjur berharap Karnival Ragbi Johor akan terus berkembang dan suatu hari nanti mampu menempatkan diri sebagai antara kejohanan yang tersenarai dalam kalendar ragbi antarabangsa.
“Harapan kami agar Karnival Ragbi Johor terus berkembang dan pada masa akan datang mampu menjadi salah satu karnival ragbi yang dikenali bukan sahaja di Malaysia, malah turut berada dalam kalendar ragbi antarabangsa,” ujarnya.
Penganjuran kali ini turut mendapat sokongan pelbagai pihak termasuk Dialog Group Berhad, JCORP Corporation, Safwa Global Venture Sdn. Bhd., Nestlé (Malaysia) Berhad, Joland Group, Permodalan Darul Ta’zim, Iskandar Investment Berhad, Faiz Sports, Rugger District dan Arie Sportswear.
Dengan penyertaan lebih 100 pasukan dari seluruh negara, Karnival Ragbi Johor 2026 dijangka menyajikan tiga hari aksi kompetitif, sengit dan penuh semangat kesukanan selain terus mengukuhkan reputasinya sebagai antara kejohanan ragbi akar umbi paling berprestij di Malaysia.-UTUSAN











