KUALA LUMPUR: Kehadiran deretan atlet kebangsaan dan prospek muda negara dijangka menjadikan Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2026 lebih sengit apabila temasya itu membuka tirai perebutan pingat esok.
Universiti Malaya (UM) yang menjadi tuan rumah edisi ketujuh bakal menyaksikan persaingan sehingga 6 September ini, dengan kehadiran beberapa atlet berprofil tinggi dijangka menjadi antara tarikan utama kejohanan.
Antara tumpuan utama pastinya terarah kepada jaguh pecut negara, Danish Iftikhar Muhammad Roslee yang turun membawa cabaran Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Danish hadir dengan reputasi besar selepas mempertahankan kejuaraan 100 meter (m) lelaki pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor, sekali gus mengulangi kejayaan yang diraihnya ketika SUKMA Sarawak 2024.
Atlet Johor itu sebelum ini mencatat 10.27 saat (s) untuk meraih emas 100m, sebelum membantu kuartet 4x100m negeri menjuarai acara berkenaan dalam masa 39.46s yang turut memecahkan rekod kejohanan.
Kejayaan Danish tidak terhenti di situ apabila dia turut menguasai 200m lelaki dengan catatan 20.85s di SUKMA Selangor, sekali gus mengukuhkan statusnya sebagai raja pecut temasya berkenaan selepas rekod acara itu turut diperbaharuinya.
Sementara itu, Universiti Putra Malaysia (UPM) mempunyai sandaran tersendiri menerusi atlet lontar peluru negara, Nani Sahirah Maryata, yang hadir sebagai juara Sukan SEA Thailand tahun lalu selain memegang rekod kebangsaan.
Juara bertahan keseluruhan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) pula pastinya mahu mengekalkan keunggulan dengan pemenang emas Sukan Komanwel Glasgow 2026, Mohamad Aniq Kasdan antara taruhan utama, manakala UM mengharapkan perenang Muhammad Dhuha Zulfikry yang mencipta kejayaan dengan lima emas ketika mewakili Wilayah Persekutuan pada SUKMA Selangor.
Sebagai tuan rumah, UM turut menyediakan ganjaran lumayan bagi menyuntik motivasi atlet, dengan Naib Canselor UM, Datuk Seri Noor Azuan Abu Osman mengumumkan RM30,000 kepada atlet universiti itu yang berjaya memecahkan rekod kebangsaan, selain RM5,000 bagi emas individu, RM3,000 (perak) dan RM2,000 (gangsa), manakala acara berpasukan menawarkan RM500 hingga RM1,000 seorang bagi emas, RM450 (perak) dan RM350 (gangsa).
“Universiti bertaraf dunia bukan sahaja seharusnya melahirkan graduan yang berilmu. Ia juga perlu membentuk individu yang mampu menghadapi kesukaran, bekerjasama dalam tekanan, bersaing tanpa mengorbankan integriti serta menggunakan kebolehan mereka untuk tujuan yang lebih besar daripada diri sendiri.
“Sebagai tuan rumah SUKIPT 2026, Universiti Malaya memikul dua tanggungjawab iaitu bersaing pada tahap tertinggi dan memperlihatkan standard sebuah universiti yang memahami kecemerlangan dalam erti kata paling menyeluruh.
“Tema ‘Mencipta Legasi Juara’ seharusnya membawa makna yang lebih besar daripada sekadar melahirkan juara untuk satu kejohanan.
“Legasi yang lebih mendalam adalah membentuk insan yang akan terus melangkah jauh selepas pertandingan berakhir, insan yang mempunyai keberanian untuk mengejar matlamat sukar, ketahanan untuk menghadapi kegagalan dan keyakinan untuk menterjemahkan kecemerlangan peribadi kepada nilai yang lebih besar untuk masyarakat dan kemanusiaan,” katanya.










