MOSCOW: Sekurang-kurangnya tujuh orang terbunuh dan 24 lagi cedera selepas sebuah pusat logistik di wilayah Tambov, barat Rusia, diserang dron Ukraine semalam, ketika serangan udara ke atas beberapa kawasan negara itu semakin meningkat.
Ukraine sebelum ini melancarkan serangan terhadap pelbagai sasaran di Russia, yang menurut Kyiv merupakan tindakan balas kepada serangan berterusan Moscow ke atas wilayahnya selama lebih empat tahun.
“Tujuh pekerja syif malam terbunuh apabila UAV (kenderaan udara tanpa pemandu) musuh menyerang sebuah pusat logistik Wildberries. Menurut maklumat awal, 24 orang cedera dalam serangan yang berlaku di bandar Kotovsk,” kata Gabenor Wilayah Tambov, Evgeny Pervyshov.
Wildberries dalam satu kenyataan berkata, kompleks logistiknya di Kotovsk dan Elektrostal, wilayah Moscow, turut menjadi sasaran serangan.
“Kebakaran yang berlaku di kemudahan di Wilayah Tambov berjaya dikawal, manakala anggota bomba masih menjalankan operasi di Elektrostal, menurut syarikat itu.
Datuk Bandar Moscow, Sergei Sobyanin, berkata lebih 370 dron dilancarkan ke arah wilayah Moscow sepanjang malam sebelum itu.
“Kebanyakannya dineutralkan oleh pasukan pertahanan udara ketika masih berada jauh dari kawasan sasaran. Sebanyak 64 UAV musuh dimusnahkan ketika menghampiri Moscow,” kata Datuk Bandar Moscow, Sergei Sobyanin, menerusi platform MAX yang disokong kerajaan.
Sementara itu, usaha diplomatik diketuai Amerika Syarikat (AS) untuk menamatkan konflik berkenaan dilaporkan menemui jalan buntu dalam beberapa bulan kebelakangan ini, selepas Washington mengalihkan tumpuan kepada konflik dengan Iran.- AFP










