Sekumpulan murid bergaduh: JPN Selangor beri kerjasama siasatan

Sekumpulan murid bergaduh: JPN Selangor beri kerjasama siasatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor memberi kerjasama penuh terhadap proses siasatan yang sedang berjalan berhubung insiden pergaduhan melibatkan sekumpulan murid seperti yang tular dan dilaporkan media baru-baru ini.

Menurut kenyataan jabatan itu, insiden ini sedang berada dalam siasatan pihak polis.

Katanya, pihaknya tidak berkompromi terhadap sebarang salah laku keganasan yang melibatkan warganya.

“Tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana pihak yang didapati bersalah.

“Pada masa sama, intervensi bimbingan dan kaunseling turut dilaksanakan kepada murid yang terlibat,” katanya hari ini.

JPN Selangor menasihatkan masyarakat untuk tidak membuat sebarang spekulasi dan menyebarkan maklumat yang tidak sahih.

Katanya, perbuatan menyebarkan identiti kanak-kanak bawah umur yang terlibat dalam kes ini adalah salah di bawah peruntukan undang-undang.

Terdahulu, media melaporkan beberapa individu ditahan selepas seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun dan bapanya didakwa dipukul di hadapan sebuah sekolah menengah kebangsaan di Seri Kembangan pada 3 Julai lalu.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad dilaporkan berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 12.45 tengah hari ketika mangsa sedang menuju ke motosikalnya di luar kawasan sekolah sebelum dipanggil oleh beberapa pelajar sekolah sama.

Mangsa kemudian didakwa dikepung dan dipukul oleh sekumpulan suspek sehingga mengalami kecederaan pada bibir, lutut serta lebam di seluruh badan.

Bapa mangsa yang cuba meleraikan pergaduhan itu turut dipukul sehingga terjatuh di atas jalan dan mengalami kecederaan pada tangan serta kaki.

Susulan itu, polis menahan beberapa individu bagi membantu siasatan dan membawa mereka ke Mahkamah Petaling Jaya untuk permohonan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.  – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN