Korban gempa bumi dahsyat Venezuela cecah 4,118

Korban gempa bumi dahsyat Venezuela cecah 4,118

PANDANGAN udara menunjukkan bangunan yang musnah akibat gempa bumi berkembar di Caraballeda, Negeri La Guaira, Venezuela.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CARACAS: Angka kematian akibat dua gempa bumi dahsyat yang melanda Venezuela kini melepasi 4,000 orang, menurut kenyataan kerajaan semalam.

Sekurang-kurangnya 4,118 orang terbunuh dan 16,740 lagi cedera dalam dua gempa bumi yang berlaku berturut-turut pada 24 Jun, memusnahkan seluruh kawasan di negeri pesisir La Guaira, kata Ketua Parlimen Venezuela, Jorge Rodriguez, menerusi Telegram.

Ribuan lagi masih disenaraikan sebagai hilang.

Gempa yang lebih kuat bermagnitud 7.5, yang terbesar melanda Venezuela dalam tempoh lebih satu abad, berlaku hanya 39 saat selepas gempa pertama berukuran 7.2 skala Richter, meruntuhkan keseluruhan bangunan pangsapuri bertingkat tinggi sehingga menjadi timbunan runtuhan.

Walaupun pasukan penyelamat menghentikan operasi mencari mangsa terselamat, ahli keluarga masih meneruskan pencarian di celah-celah runtuhan, dengan harapan dapat memberikan pengebumian yang bermaruah.

Semalam, satu gegaran susulan bermagnitud 3.0 di kawasan tengah Caracas mencetuskan panik seketika dan menyebabkan beberapa bangunan dikosongkan.

Skala usaha pemulihan yang perlu dihadapi Venezuela amat besar, lebih-lebih lagi ketika perkhidmatan awam negara itu terjejas teruk akibat krisis ekonomi yang berpanjangan.

Rabu lalu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengeluarkan rayuan segera bagi mendapatkan hampir AS$300 juta (RM1.2 bilion) untuk operasi bantuan gempa bumi.

Presiden sementara Venezuela, Delcy Rodriguez, menggesa agar aset negara yang dibekukan di luar negara dilepaskan supaya dapat digunakan bagi membiayai usaha pemulihan.

Beliau meminta Raja Charles III supaya melepaskan kira-kira 30 tan emas milik Venezuela yang dibekukan di bawah sekatan yang dikenakan oleh United Kingdom (UK).- AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN