WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) dijangka mengumumkan tarif baharu yang berpotensi menjejaskan puluhan negara dalam masa terdekat, kata Wakil Perdagangannya, Jamieson Greer, semalam.
Langkah itu dijangka dilaksanakan menjelang tamat tempoh tarif global sementara yang diperkenalkan Presiden Donald Trump pada Jumaat ini.
Pentadbiran Trump dilaporkan menyediakan tarif baharu terhadap 60 rakan dagang susulan dakwaan mereka gagal mengambil tindakan membanteras amalan buruh paksa, ketika kerajaan berusaha menghidupkan semula agenda perdagangan presiden itu selepas berdepan cabaran perundangan.
“Kami menjangkakan akan ada tindakan tidak lama lagi,” kata Greer kepada CNBC ketika ditanya mengenai pelaksanaan tarif baharu, namun tidak memperincikan tempoh pelaksanaannya.
Trump sebelum ini mengenakan tarif global sebanyak 10 peratus tahun ini selepas sebahagian besar tarif yang diperkenalkannya dibatalkan Mahkamah Agung pada Februari. Tarif sementara itu bagaimanapun akan berakhir pada Jumaat.
Penganalisis menjangkakan tarif baharu berkaitan isu buruh paksa, yang dianggarkan antara 10 hingga 12.5 peratus, akan menggantikan tarif global sementara berkenaan.
Langkah itu dibuat ketika Trump kembali memperhebat penggunaan tarif sebagai tekanan terhadap rakan dagang AS, sekali gus mencetuskan kebimbangan mengenai tindakan balas serta ketegangan diplomatik.
Washington minggu lalu mengumumkan tarif baharu sebanyak 25 peratus ke atas barangan tertentu dari Brazil, manakala pada Isnin mengenakan tarif 50 peratus ke atas kebanyakan produk dari Kanada yang dijadual berkuat kuasa dalam tempoh 30 hari.
Perdana Menteri Kanada, Mark Carney, pada Selasa berkata kerajaannya sedang mempertimbangkan ‘semua pilihan’, sambil memaklumkan beliau dan Trump bersetuju untuk memperhebat rundingan dalam beberapa minggu akan datang bagi mencapai satu kemungkinan perjanjian.
Pada hari sama, Trump turut mengumumkan tarif khusus sektor sebanyak 100 peratus ke atas ubat generik import yang akan berkuat kuasa mulai Ogos 2028, sebelum kadarnya dinaikkan kepada 200 peratus pada 2029.
Bagaimanapun, beliau berkata tarif ke atas ubat generik akan dikurangkan kepada sifar mulai Ogos 2026 sebagai langkah sementara bagi memberi ruang kepada syarikat farmaseutikal memindahkan pengeluaran ubat berkenaan ke AS.- AFP










