WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) semalam mengumumkan perjanjian penting dengan Arab Saudi bagi mewujudkan program tenaga nuklear awam di negara Teluk itu, dengan Washington menegaskan perjanjian berkenaan mengandungi langkah perlindungan untuk menghalang pertambahan senjata nuklear.
Langkah itu diumumkan ketika AS di bawah pentadbiran Presiden Donald Trump terus berdepan konflik dengan Iran yang tercetus sebahagian besarnya susulan kebimbangan terhadap program nuklear Teheran, isu yang turut menjadi titik pertikaian utama dalam rundingan damai yang kini tergendala.
Jabatan Tenaga AS memaklumkan dua perjanjian dimeterai oleh Setiausaha Tenaga AS, Chris Wright, dan rakan sejawatnya dari Arab Saudi, Putera Abdulaziz bin Salman.
Perjanjian itu merangkumi kerjasama dalam penggunaan tenaga nuklear bagi tujuan aman serta perjanjian perlindungan dua hala berkaitan keselamatan nuklear.
Teks penuh kedua-dua perjanjian itu bagaimanapun belum didedahkan kepada umum.
Menurut Jabatan Tenaga AS, kedua-dua perjanjian itu menjadi asas perundangan kepada kerjasama strategik dan ekonomi bernilai berbilion dolar yang dijangka berlangsung selama beberapa dekad, termasuk memperkukuh usaha mencegah penyebaran senjata nuklear.
Akhbar Wall Street Journal melaporkan satu peruntukan dalam perjanjian itu berpotensi membolehkan syarikat AS membina kemudahan pengayaan uranium di Arab Saudi.
Bagaimanapun, Jabatan Tenaga AS tidak menyebut perkara itu dalam kenyataannya dan enggan mengulas lanjut apabila diminta mengesahkannya oleh AFP.
Perjanjian itu akan dikemukakan kepada Kongres AS untuk semakan, namun badan perundangan yang dikuasai Parti Republikan dijangka tidak akan menghalang pelaksanaannya.
Sebelum ini, penggubal undang-undang AS daripada kedua-dua parti serta pegawai Israel menyuarakan bantahan terhadap projek berkenaan kerana bimbang Arab Saudi berpotensi menukarkannya kepada program pembangunan senjata nuklear pada masa depan.
“Trump mendakwa perang terhadap Iran bertujuan menghalang sebuah negara autoritarian daripada memperkaya bahan api nuklear.
“Kini beliau membenarkan sekutu rapatnya di Arab Saudi, yang merupakan antara negara paling autokratik di dunia, melakukan perkara yang sama. Ini tidak masuk akal,” kata Senator Demokrat bebas berhaluan kiri, Bernie Sanders, menerusi platform X.
Arab Saudi, seperti Iran, sejak sekian lama menegaskan haknya untuk membangunkan program tenaga nuklear bagi tujuan awam. Tahun lalu, negara itu turut memeterai pakatan pertahanan bersama Pakistan yang memiliki senjata nuklear.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Washington berusaha mengaitkan sebarang perjanjian nuklear dengan usaha strategik yang lebih luas, termasuk menggalakkan Arab Saudi menormalkan hubungan dengan Israel serta memeterai pakatan pertahanan antara AS dan Arab Saudi.










