Aliff Rakib juara dunia, kaut RM204,000

Aliff Rakib juara dunia, kaut RM204,000

ALIFF melepaskan beberapa tumbukan dan sepakan tepat ke arah muka lawan dari Thailand. -ONE Championship
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bintang muda muay thai negara, Ahmad Nor Iman Aliff Rakib mencipta sejarah tersendiri apabila muncul juara dunia interim strawweight ONE Championship selepas menewaskan legenda Thailand, Sam-A Gaiyanghadao di Stadium Lumpinee, Bangkok, sebentar tadi.

Kejayaan itu sekali gus menyaksikan atlet berusia 22 tahun tersebut menunaikan impiannya menghadiahkan tali pinggang dunia pertama ONE Championship buat Malaysia.

Meskipun berdepan lawan yang memiliki pengalaman luas dan ratusan kemenangan sepanjang karier, Aliff mempamerkan aksi penuh yakin sebelum menoktahkan pertarungan menerusi kemenangan knockout (KO) pada pusingan kelima.

“Terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang datang hari ini. Sebelum ini saya dah janji nak letak Malaysia,” katanya sejurus tamat pertarungan.

Aliff turut menzahirkan penghargaan kepada bapanya yang menjadi tulang belakang dan sumber kekuatan sepanjang perjalanan kariernya sehingga berjaya mencapai kejayaan terbesar dalam hidup.

“Saya telah berusaha bersungguh-sungguh dan melalui pelbagai cabaran untuk sampai ke tahap ini. Tali pinggang ini adalah untuk ayah saya dan kemenangan ini adalah untuk Malaysia,” katanya.

Atas persembahan cemerlang itu, Aliff turut membawa pulang bonus prestasi berjumlah AS$50,000 (RM204,000) yang diberikan oleh ONE Championship.

Kemenangan tersebut membuka laluan buat Aliff atau lebih dikenali sebagai Aliff Sor Dechapan untuk membuat perhitungan dengan juara dunia strawweight Muay Thai, Prajanchai PK Saenchai dalam usaha memburu gelaran dunia mutlak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN