COLOMBO: Sri Lanka mengerahkan tenteranya untuk membantu membendung penularan demam denggi ketika pihak berkuasa kesihatan hari ini memberi amaran hospital kini semakin sesak dengan lebih 1,000 kes kemasukan pesakit setiap hari.
Pejabat Presiden Anura Kumara Dissanayake memaklumkan, anggota tentera darat, laut dan udara akan digerakkan bersama satu unit khas bagi mengesan serta memusnahkan tempat pembiakan nyamuk.
Demam denggi yang disebarkan nyamuk Aedes boleh menyebabkan simptom seperti demam panas, sakit kepala, loya, muntah dan sakit otot, selain komplikasi lebih serius termasuk pendarahan yang boleh membawa maut.
Setakat ini, hampir 50,000 kes direkodkan tahun ini dengan 29 kematian, namun angka itu masih jauh lebih rendah berbanding kemuncak pada 2017 apabila 186,000 kes dan 440 kematian dilaporkan.
Nyamuk Aedes, yang mudah dikenali melalui jalur hitam dan putih pada kakinya, membiak di kawasan air bertakung.
Menurut kenyataan itu, tindakan penguatkuasaan undang-undang turut akan diambil terhadap pemilik premis yang didapati membenarkan pembiakan nyamuk, selain operasi oleh unit khas tentera berkenaan.
Satu kempen pembersihan kawasan pembiakan nyamuk di seluruh negara akan dilancarkan pada Rabu.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran denggi dan virus lain yang dibawa oleh nyamuk kini merebak dengan lebih pantas dan meluas akibat perubahan iklim.
Sri Lanka menyaksikan peningkatan mendadak kes denggi sejak awal Jun, dengan lebih 1,000 kes dilaporkan dalam sehari minggu ini, menurut data rasmi.
Unit denggi kerajaan berkata, pihaknya bimbang hospital awam dan swasta mungkin tidak mampu menampung peningkatan kes seterusnya.
“Hospital sudah pun berada dalam tekanan,” kata ketua unit berkenaan, Kapila Kannangara, kepada pemberita di Colombo. “Kami tidak mahu berdepan situasi seperti yang berlaku pada 2017.”
Hujan monsun, air bertakung akibat banjir baru-baru ini serta pembuangan sampah secara tidak terurus telah mewujudkan keadaan yang ideal untuk pembiakan dan penyebaran nyamuk dengan pantas.- AFP









