ShekhinahPR terus komited bantu lahirkan juara masa depan

ShekhinahPR terus komited bantu lahirkan juara masa depan

KETUA Pegawai Eksekutif ShekhinahPR, Christopher Raj (tengah), bergambar bersama peserta Kejohanan Jemputan Beregu Campuran Remaja ShekhinahPR yang dianjurkan sebagai sebahagian daripada usaha ShekhinahPR menyokong pembangunan sukan di peringkat akar umbi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bersempena ulang tahun ke-15 penubuhannya, ShekhinahPR terus memperkukuh komitmen terhadap pembangunan sukan negara apabila mengumumkan penajaan berjumlah RM15,000 bagi Kejohanan Jemputan Beregu Campuran Remaja ShekhinahPR yang akan berlangsung sempena Kejohanan Tenis Terbuka CIMB Kuala Lumpur 2026.

Inisiatif tersebut mencerminkan kesungguhan syarikat dalam menyokong pembangunan sukan di peringkat akar umbi menerusi penyediaan platform kompetitif kepada atlet muda untuk menimba pengalaman, mengasah bakat dan meningkatkan potensi mereka dalam suasana pertandingan yang berkualiti.

CHRISTOPHER Raj (kiri), dan Presiden Persatuan Lawn Tennis Malaysia (Tennis Malaysia), Mirzan Mahathir, pada majlis penajaan Kejohanan Jemputan Beregu Campuran Remaja ShekhinahPR bersempena Kejohanan Tenis Terbuka CIMB Kuala Lumpur 2026.

Sejak ditubuhkan pada 2011, ShekhinahPR berkembang seiring dengan landskap sukan negara menerusi penglibatan aktif dalam komunikasi strategik, perhubungan awam dan pengurusan jenama bagi pelbagai acara sukan di peringkat kebangsaan serta antarabangsa.

Selain memainkan peranan penting dalam industri komunikasi sukan, syarikat itu turut konsisten melaksanakan pelbagai program pembangunan komuniti yang memberi manfaat kepada golongan muda dan atlet pelapis negara.

Antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk menyokong program pembangunan badminton remaja Rawang BC selama sedekad, menjalin kerjasama dengan SK Lemoi di Cameron Highlands selama tujuh tahun bagi menggalakkan penyertaan murid Orang Asli dalam aktiviti sukan, selain bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam menaja peralatan sukan kepada 40 sekolah di seluruh negeri itu.

Ketua Pegawai Eksekutif ShekhinahPR, Datuk Christopher Raj berkata, penajaan berkenaan merupakan sebahagian daripada komitmen jangka panjang syarikat untuk menyumbang kepada pembangunan sukan negara secara berterusan.

“Sambutan ulang tahun ke-15 ini bukan sekadar meraikan perjalanan ShekhinahPR, malah menjadi medan untuk kami menilai sejauh mana sumbangan yang telah diberikan kepada pembangunan sukan di Malaysia.

“Sepanjang tempoh itu, kami bukan sahaja membantu memperkukuh industri sukan menerusi perkhidmatan komunikasi strategik, malah turut berusaha mewujudkan lebih banyak peluang kepada bakat-bakat muda untuk berkembang,” katanya.

Beliau berkata, pembangunan sukan akar umbi perlu diberikan perhatian serius kerana kejayaan atlet di peringkat tertinggi bermula daripada peluang dan pendedahan yang diterima sejak usia muda.

“Kami percaya pelaburan terhadap atlet muda merupakan pelaburan untuk masa depan negara.

“Platform seperti ini penting dalam memberi pendedahan kepada pemain muda untuk bersaing, membina keyakinan diri serta membentuk mentaliti yang diperlukan bagi mencapai kecemerlangan di peringkat tertinggi.

“ShekhinahPR berbangga kerana dapat menjadi sebahagian daripada perjalanan melahirkan juara-juara masa depan negara,” ujarnya.

Kejohanan Tenis Terbuka CIMB Kuala Lumpur 2026 dijadual berlangsung dari 28 Julai hingga 2 Ogos depan di Pusat Tenis Negara, Jalan Duta dan dijangka menghimpunkan pemain-pemain terbaik dari Malaysia serta rantau Asia.

Penganjuran Kejohanan Jemputan Beregu Campuran Remaja ShekhinahPR pula melengkapkan usaha memperkukuh pembangunan tenis akar umbi dengan menyediakan platform pertandingan berkualiti kepada pemain remaja untuk menonjolkan bakat mereka.

Sempena ulang tahun ke-15 penubuhannya, ShekhinahPR menegaskan komitmen untuk terus bekerjasama dengan persatuan sukan, badan pentadbir, agensi kerajaan dan rakan strategik dalam memperluaskan peluang pembangunan atlet, sekali gus membantu memperkasa landskap sukan negara secara menyeluruh.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN