PRN Johor: Pembahagian kerusi antara komponen PH selesai - Utusan Malaysia

PRN Johor: Pembahagian kerusi antara komponen PH selesai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU PAHAT: Pembahagian kerusi antara parti-parti komponen Pakatan Harapan (PH) bagi berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang telah diselesaikan.

Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kata akhir berhubung perkara itu bagaimanapun tertakluk kepada Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Baru petang tadi kita sudah selesai rundingan semua kerusi antara PH, terima kasih Datuk Seri Ahmad Sabu (Presiden Parti Amanah Negara) dan Anthony Loke Siew Fook (Setiausaha Agung DAP).

“Peringkat komponen telah kita selesaikan. Jadi tidak perlu gundah gulana, sebaliknya kita perlu fokus kepada persiapan jentera dan PRN yang akan diadakan,” katanya ketika berucap pada program Pelancaran Jentera Pilihanraya Pakatan Harapan (PH) Johor di sini, malam ini.

Tambah Naib Presiden PKR itu, pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor bagi memberi laluan kepada pilihan raya akan proses mengembalikan demokrasi kepada rakyat untuk memilih kerajaan mereka.

“Rakyat ada kuasa penuh pilih pemimpin negeri. Rakyat bebas memilih tanpa perlu rasa takut sebab proses ini adalah keputusan mutlak rakyat Johor, tiada orang lain yang akan jadi penentu.

“Pendekatan politik PH adalah ‘we are all together’, Melayu Cina India kita bersama-sama bekerjasama bangunkan negara dan negeri. Pendekatan kita bukan ‘us versus them’. Jadi jangan beri ruang kepada kempen politik yang menakutkan rakyat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN