PRN berasingan tidak beri kelebihan kepada BN - UMNO - Utusan Malaysia

PRN berasingan tidak beri kelebihan kepada BN – UMNO

Mohamed Khaled Nordin
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Barisan Nasional (BN) tidak peroleh sebarang kelebihan berbanding Pakatan Harapan (PH) atau mana-mana parti politik lain sekiranya Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan diadakan secara berasingan atau secara serentak.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sebaliknya berkata, BN dan parti-parti komponennya perlu bergantung kepada kekuatan sendiri dalam usaha mendapatkan mandat daripada rakyat.

Katanya, UMNO dan BN telah bersiap siaga untuk berdepan mana-mana pilihan raya.

“Kita tidak bergantung sama ada bersama atau tidak. Soal mengapa PRN Johor dan Negeri Sembilan diadakan berasingan atau tidak berasingan, itu kena tanya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Masa Johor bubar Dewan Undangan Negeri dahulu, tidak timbul isu mahu adakan PRN dengan Negeri Sembilan serentak, kita sendiri tidak tahu Negeri Sembilan akan bubar dan adakan PRN,” katanya ketika diminta mengulas pengumuman SPR bahawa PRN Johor dan Negeri Sembilan diadakan berasingan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Program Jiwa Murni Madani Kementerian Pertahanan di Sekolah Kebangsaan Johor Kampong, di sini hari ini.

Semalam, SPR telah mengumumkan tarikh penamaan calon bagi PRN Johor akan diadakan pada 27 Jun ini, manakala 7 Julai sebagai tarikh undi awal dan 11 Julai hari mengundi.

Penamaan calon bagi PRN Negeri Sembilan pula ditetapkan pada pada 18 Julai, dengan pengundian awal ditetapkan pada 28 Julai manakala 1 Ogos merupakan hari mengundi.

Pada masa sama, Mohamed Khaled yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi turut menolak dakwaan bahawa kenyataan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi enggan duduk semeja dengan pemimpin DAP adalah sikap perkauman terhadap komuniti Cina di Johor.

“Beliau bukannya kata DAP itu Cina dan Cina itu DAP, sebaliknya dia bercakap mengenai DAP sebagai sebuah parti politik. BN sendiri juga akan parti komponen mewakili masyarakat Cina daripada dahulu lagi, mereka rakan kongsi kita.

“Jadi tidak timbul isu beliau (Onn Hafiz) bersikap perkauman terhadap komuniti Cina,” katanya.

Sementara itu, beliau turut menyambut baik keputusan mana-mana parti politik sama ada yang lama mahupun yang baharu untuk terlibat sama dalam PRN Johor ini.

“Sebagai sebuah negara yang amalkan demokrasi, kita mengalu-alukan. Apa yang penting adalah rakyat perlu bijak memilih dengan rasional, parti politik mana yang boleh mewakili mereka untuk kehidupan yang lebih baik dan sejahtera,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN