OEIRAS: Portugal menutup aksi persahabatan antarabangsa dengan kemenangan 2-1 ke atas Chile di Oeiras menjelang aksi Piala Dunia 2026 yang bermula 11 jun ini.
Bagaimanapun, perlawanan itu dicemari aksi panas apabila kedua-dua pasukan terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas dilayangkan kad merah.
Pemain tengah Portugal, Bruno Fernandes menegaskan pasukannya mendominasi perlawanan dari awal hingga wisel penamat.
“Kami lebih dominan sepanjang 90 minit, kami berjaya mengawal permainan dengan sangat baik, terutama sekali apabila banyak menguasai bola di kawasan terakhir padang,” katanya
Cristiano Ronaldo diturunkan dalam kesebelasan utama Portugal dan hampir menceriakan tuan rumah sebelum rehat, namun jaringannya dibatalkan kerana ofsaid.
Perlawanan mula tegang sebelum tamat babak pertama apabila Rafael Leão dan Ivan Román masing-masing dilayangkan kad merah susulan insiden pergaduhan beberapa pemain.
Bersambung babak kedua, Portugal kembali menguasai permainan apabila Gonçalo Guedes membuka tirai jaringan pada minit ke-58.
Bintang tengah, Fernandes yang beraksi sepanjang 90 minit, kemudian menggandakan kedudukan dengan rembatan jarak jauh yang tidak mampu diselamatkan penjaga gol Chile.
Chile cuba bangkit dan merapatkan jurang menerusi Lucas Cepeda pada masa kecederaan, namun ia sudah terlambat untuk mengelak kekalahan.
Portugal selepas ini dijadualkan menentang Nigeria dalam satu lagi aksi pemanas badan di Leiria sebelum memulakan kempen Kumpulan K Piala Dunia yang turut membabitkan Republik Demokratik Congo, Uzbekistan dan Colombia.-AGENSI










