COPENHAGEN: Masa depan Cristiano Ronaldo bersama Portugal kembali menjadi tanda tanya selepas legenda berusia 41 tahun itu mengambil keputusan meninggalkan kem latihan pasukan kebangsaan.
Tindakan mengejutkan itu berlaku tidak lama selepas ketua jurulatih Portugal, Jorge Jesus mengesahkan Ronaldo sekali lagi tidak akan berada dalam kesebelasan utama bagi aksi Liga Negara-Negara UEFA menentang Denmark yang berakhir dengan kemenangan 4-2, semalam.
Ronaldo yang sepatutnya menjalani sesi latihan bersama rakan sepasukan di Stadium Parken, Copenhagen bertindak meninggalkan kem pasukan sejurus selepas sidang media berkenaan.
“Susulan sidang media jurulatih pasukan kebangsaan dan selepas berbincang dengan presiden Persekutuan Bola Sepak Portugal, saya mengambil keputusan untuk meninggalkan kem latihan pasukan kebangsaan.
“Pada waktunya, saya akan memberitahu perkara sebenar kepada seluruh rakyat Portugal mengenai sebab saya meninggalkan pasukan kebangsaan yang sentiasa saya curahkan sepenuh komitmen.
“Sekarang masa untuk mendoakan yang terbaik buat Portugal dan semua rakan sepasukan saya tanpa terkecuali,” tulis Ronaldo menerusi Instagram.
Kenyataan itu menguatkan spekulasi bahawa wujud rasa tidak puas hati dalam kalangan kem Portugal, selain mencetuskan persoalan mengenai masa depan pemain yang sudah lebih dua dekad menyarung jersi kebangsaan itu.
Sebelum ini, Ronaldo hanya beraksi sebagai pemain gantian ketika Portugal menewaskan Norway 2-1 dalam aksi Liga Negara-Negara, Ahad lalu, selepas mengetuai pasukan ketika kemenangan 1-0 ke atas Wales beberapa hari sebelumnya.
Akhbar sukan Sepanyol, Marca melaporkan Jesus dan Presiden Persekutuan Bola Sepak Portugal, Pedro Proenca turut cuba memujuk Ronaldo untuk kekal bersama skuad dengan mengekori pemain itu ke lapangan terbang Copenhagen sebelum dia berlepas menggunakan jet peribadinya.
Bagaimanapun, usaha tersebut dipercayai gagal apabila Ronaldo tetap memilih untuk meninggalkan kem pasukan.
Jesus sebelum itu menafikan wujud sebarang keretakan hubungan antara beliau dan Ronaldo, meskipun mengakui penyerang berkenaan kecewa selepas tidak disenaraikan dalam kesebelasan utama ketika menentang Norway. – AGENSI











