Piala Dunia satukan Iran seketika

Piala Dunia satukan Iran seketika

Rakyat Iran menonton aksi Piala Dunia 2026 antara Iran dan New Zealand menerusi tayangan skrin besar di Tehran Book Garden, Tehran, awal pagi tadi, dengan ramai sanggup berjaga sehingga subuh untuk memberikan sokongan kepada Team Melli yang mengikat lawan 2-2. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHRAN: Ketika kebanyakan penduduk Iran masih lena dibuai tidur pada awal pagi, puluhan penyokong bola sepak sanggup bangun seawal 4.30 pagi untuk menyaksikan aksi pembukaan negara itu menentang New Zealand pada Piala Dunia 2026.

Di sebuah kafe di Tehran yang dibuka khas untuk siaran langsung perlawanan tersebut, suasana meriah tercipta apabila penyokong berkumpul di tengah-tengah ketegangan yang masih menyelubungi negara itu susulan konflik dengan Amerika Syarikat (AS).

Seorang guru berusia 21 tahun, Shiva Sharifi berkata dia tetap optimis Iran mampu melepasi saingan peringkat kumpulan walaupun berdepan pelbagai cabaran sebelum kejohanan bermula.

“Saya dan rakan saya percaya Iran mampu mara ke pusingan seterusnya dan saya berharap perkara itu akan menjadi kenyataan.

“Saya fikir bola sepak dan politik perlu dipisahkan serta tidak sepatutnya mempunyai kaitan antara satu sama lain,” katanya.

Ketika perlawanan berlangsung, penyokong di kafe berkenaan beberapa kali bersorak dan berpelukan apabila Iran berjaya bangkit dua kali daripada ketinggalan sebelum mengikat New Zealand 2-2 di Los Angeles.

Bagaimanapun, tidak semua penyokong berpuas hati dengan persembahan skuad Team Melli yang dilihat masih bergelut selepas melalui persiapan yang sukar menjelang kejohanan.

“Pemain-pemain kami berada dalam keadaan tertekan dan keletihan.

“Itulah yang terpaksa kami hadapi akibat situasi yang berlaku sebelum kejohanan ini,” kata pekerja swasta, Abolfazl Kazemi.

Jurulatih Iran, Amir Ghalenoei sebelum ini menyifatkan pasukannya sebagai antara yang paling terkesan menjelang Piala Dunia selepas berdepan isu visa, pertukaran kem latihan dan jadual perjalanan yang mencabar, namun di sebalik segala kesukaran itu, bola sepak tetap berjaya menyatukan rakyat Iran sekurang-kurangnya untuk satu malam. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN