WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berkata bahawa beliau membatalkan serangan ke atas Iran selepas waktu AS menyerang negara itu telah dibocorkan kepada media.
“Pada pendapat saya, pembocor maklumat patut ditembak. Pada zaman dahulu, kita menembak pembocor maklumat,” katanya ketika berucap dalam satu perhimpunan di Arizona Rabu.
Trump berkata, pesawat pengebom kalis radar B-2 dihantar bagi memastikan Iran tidak memiliki senjata nuklear dan negara itu sedang menunggu ketibaan kapal terbang itu.
“Seseorang telah membocorkan maklumat, seorang yang tidak bermoral. Mereka sepatutnya dipenjarakan dan ditembak. Mereka sepatutnya dipenjarakan sepanjang hayat.
“Pembocor maklumat mesti dikenakan tindakan yang sangat, sangat tegas. Mereka benar-benar wujud. Bagi saya, mereka golongan yang paling hina di muka bumi,” katanya.
Trump mendakwa satu operasi serangan terhadap Iran yang melibatkan aset ketenteraan AS dari Missouri dengan berkata, kebocoran maklumat itu mendorong beliau menjadualkan semula operasi ketenteraan terhadap Republik Islam itu.
Bagaimanapun, presiden itu tidak menyatakan operasi yang dimaksudkannya dan tidak mengemukakan bukti langsung bahawa kebocoran maklumat kepada media sehingga memaksa Jabatan Pertahanan atau lebih dikenali sebagai Pentagon mengubah sebarang rancangan ketenteraan.
Trump dan sekutunya sejak sekian lama mengecam laporan media yang disifatkan mereka sebagai tidak memihak kepada AS berhubung perang terhadap Iran.
Konflik yang pernah diramalkan presiden itu akan berlangsung selama beberapa minggu dan sering didakwanya akan berakhir tidak lama lagi, kini memasuki bulan kelapan tanpa sebarang petanda akan berakhir.
Perhimpunan kempen Trump lazimnya berlangsung secara spontan, dengan ucapan yang sering melebihi sejam dan mengetengahkan isu sensitif dalam masyarakat bagi menggerakkan sokongan penyokongnya.
Walaupun Trump sentiasa menonjolkan prestasi ekonomi dan mempertahankan rekod pentadbirannya, termasuk berhubung dasar tarif, beliau kerap menyimpang daripada topik utama untuk membangkitkan perkara yang tidak berkaitan secara langsung dengan isu kos sara hidup yang menjadi kebimbangan pengundi. – AGENSI











