KUALA LUMPUR: Seramai 42,807 orang hilang pekerjaan dari Januari sehingga 12 Jun lalu dengan 40.85 peratus atau 17,485 orang diberhentikan akibat penutupan perniagaan dan pengecilan syarikat.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, Kuala Lumpur mencatatkan jumlah kehilangan pekerjaan sebanyak 30 peratus atau 12,844 orang berdasarkan statistik Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Katanya, ia diikuti Selangor yang mencatatkan seramai 12,360 orang telah kehilangan pekerjaan dan Johor yang merekodkan kadar kehilangan pekerjaan adalah sebanyak 8.10 peratus atau 3,468 orang.
“Dalam tempoh yang sama, jumlah kekosongan jawatan yang telah diiklankan di seluruh negara dalam Portal MYFutureJobs adalah sebanyak 605,168 kekosongan jawatan, manakala jumlah pencari kerja termasuk yang kehilangan pekerjaan adalah seramai 188,062 orang,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Azman Nasrudin (PN-Padang Serai) mengenai punca utama trend penutupan dan pengecilan syarikat di Lembah Klang yang menyumbang majoriti kes kehilangan pekerjaan awal tahun ini dan sejauh mana faktor automasi dan teknologi kecerdasan buatan (AI) memacu gelombang pemberhentian pekerja.
Mengulas lanjut, Ramanan berkata, pihaknya mengambil pendekatan komprehensif bagi memastikan peralihan itu berlaku secara saksama.
“Kementerian Sumber Manusia sentiasa berusaha memastikan peralihan ke arah penggunaan pendigitalan dan AI tidak menggugat pekerjaan berjuta rakyat.
“Dengan inisiatif ini, tenaga kerja Malaysia diyakini lebih bersedia dan kompetitif dalam pasaran kerja negara,” katanya. – UTUSAN










