GUADALAJARA: Mexico menjadi pasukan pertama yang mengesahkan tempat ke pusingan kalah mati Piala Dunia selepas menewaskan Korea Selatan 1-0 dalam aksi Kumpulan A di Stadium Guadalajara, sebentar tadi.
Kemenangan kedua berturut-turut itu bukan sahaja memastikan kemaraan awal skuad El Tri ke pusingan 32 terbaik, malah turut mengesahkan mereka sebagai juara kumpulan walaupun masih berbaki satu perlawanan.
Di hadapan puluhan ribu penyokong sendiri yang memenuhi stadium, Mexico sekali lagi membuktikan status mereka sebagai antara pasukan paling konsisten dalam kejohanan apabila memanfaatkan peluang yang terhidang untuk meraih tiga mata berharga.
Selepas babak pertama berlangsung seimbang dengan kedua-dua pasukan saling menguji benteng pertahanan lawan, Mexico akhirnya memecah kebuntuan sejurus selepas rehat menerusi Luis Romo pada minit ke-50.
Pemain tengah berpengalaman itu mengambil kesempatan atas kesilapan penjaga gol Korea Selatan, Kim Seung-gyu sebelum menyempurnakan peluang yang terhidang untuk meletakkan Mexico di hadapan.
Gol tersebut sudah memadai untuk memisahkan kedua-dua pasukan, namun Mexico terpaksa bekerja keras sehingga wisel penamat bagi memastikan kelebihan itu tidak terlepas selepas diasak bertubi-tubi oleh jentera serangan Korea Selatan.
Korea Selatan memiliki beberapa peluang untuk meraih gol penyamaan namun penjaga gol Mexico, Raul Rangel bertindak cemerlang menafikan peluang terbaik lawan.
Kecekapan Rangel di benteng terakhir memastikan Mexico mempertahankan kelebihan tipis mereka dan seterusnya mencatat kemenangan yang membawa makna besar dalam kempen kali ini.
Status juara kumpulan membolehkan Mexico terus beraksi di hadapan penyokong sendiri pada pusingan 32 terbaik di Mexico City, sesuatu yang pasti memberikan kelebihan psikologi kepada pasukan kendalian Javier Aguirre.
Aguirre melakukan tiga pertukaran dalam kesebelasan utama berbanding pasukan yang menewaskan Afrika Selatan 2-0 pada aksi pembukaan dan percaturannya sekali lagi membuahkan hasil.
Sebaliknya, Korea Selatan yang turun dengan keyakinan tinggi selepas menewaskan Republik Czech 2-1 terpaksa tanpa sebarang mata meskipun mempamerkan persembahan yang kompetitif sepanjang perlawanan.
Skuad kendalian Hong Myung-bo bagaimanapun masih berada dalam kedudukan baik untuk memburu tiket ke pusingan kalah mati apabila menghuni tangga kedua kumpulan dengan tiga mata.
Dengan satu perlawanan masih berbaki, Korea Selatan perlu memastikan keputusan positif ketika berdepan Afrika Selatan, manakala Mexico boleh turun lebih tenang apabila menentang Republik Czech.-AGENSI










