TORONTO: Penyerang berpengalaman, Cyle Larin muncul penyelamat Kanada apabila jaringan lewatnya memastikan tuan rumah bersama Piala Dunia 2026 mengelak kekalahan selepas seri 1-1 dengan Bosnia dan Herzegovina dalam aksi pembukaan Kumpulan B, awal pagi tadi.
Kanada yang tampil sebagai pasukan pilihan menguasai sebahagian besar perlawanan, namun hampir menerima tamparan hebat di hadapan penyokong sendiri apabila Bosnia terlebih dahulu mengejutkan Stadium Toronto menerusi jaringan Jovo Lukic pada minit ke-21.
Lukic yang tidak dikawal rapi mudah menyudahkan peluang hasil situasi sepakan penjuru untuk meletakkan Bosnia di hadapan sekali gus memberi tekanan kepada skuad tuan rumah.
Tersentak dengan gol tersebut, Kanada meningkatkan tempo permainan dan melancarkan serangan bertali arus ke kubu lawan.
Bagaimanapun, ketumpulan jentera serangan serta aksi cemerlang benteng Bosnia menyebabkan mereka terus buntu mencari gol penyamaan.
Peluang terbaik Kanada hadir pada minit ke-53 menerusi Richie Laryea, namun percubaannya berjaya diselamatkan secara dramatik oleh pertahanan Bosnia, Sead Kolasinac yang menepis bola ke palang sebelum bahaya dapat dielakkan.
Ketika Bosnia semakin hampir mencipta kejutan besar dengan membawa pulang tiga mata penuh, kemasukan Larin pada minit ke-76 ternyata menjadi titik perubahan.
Hanya tiga minit selepas memasuki gelanggang, penyerang berusia 31 tahun itu mempamerkan sentuhan penyudah berkualiti apabila bijak memusingkan badan sebelum melepaskan rembatan yang terkena pemain lawan lalu menewaskan penjaga gol Bosnia.
Gol tersebut mencetuskan sorakan gemuruh lebih 30,000 penyokong tuan rumah dan memastikan Kanada sekurang-kurangnya meraih satu mata dalam aksi pembukaan mereka.
Keputusan itu menyaksikan Kanada terpaksa berpuas hati dengan satu mata, manakala Bosnia terlepas peluang untuk mencipta kemenangan bersejarah ke atas salah satu tuan rumah kejohanan. – AGENSI










