PADANG BESAR: Polis membuka kertas siasatan berhubung dakwaan seorang murid perempuan berusia 12 tahun yang menjadi mangsa buli di sebuah sekolah sekitar Chuping di sini, pada Februari lalu.
Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd. Shokri Abdullah berkata, pihaknya sebelum ini telah membuka siasatan kes itu di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.
Menurut beliau, kertas siasatan itu juga telah dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Perlis pada 19 Mei lalu dengan cadangan pertuduhan di bawah peruntukan Akta Kanak-Kanak 2001.
“Setakat ini, polis juga masih menunggu arahan lanjut dari pejabat TPR untuk tindakan seterusnya,” katanya, di sini, hari ini.
Terdahulu, pasangan suami isteri dari Chuping, di sini, memohon keadilan buat anak sulung mereka yang didakwa menjadi mangsa buli fizikal dan mental di sekolah sejak darjah tiga.
Norasikin Hasin, 32, dan Muhamad Abdul Hadi Mohd Fauzi, 32, mendakwa anak perempuannya itu yang lebih mesra disapa sebagai ‘kakak’ telah dibuli pada bulan Februari lalu dan turut mengadu sakit belakang selepas pulang dari asrama sebuah sekolah di sini.
Rentetan itu, kanak-kanak itu juga terpaksa ditahan di wad sebelum ini malah turut disahkan menghidap Post-Traumatic Stress Disorder (PTSD) selain didiagnos mengalami masalah sistem saraf (Functional Neurological Disorder (FND) oleh pakar neurologi.
Mohd. Shokri berkata, pihaknya sebelum ini menerima satu laporan berkaitan kejadian itu selepas murid perempuan berkenaan dikatakan terjatuh dari kerusi yang ditarik oleh seorang murid lain yang juga rakan sekelasnya.
“Ibu mangsa yang merupakan pengadu tampil membuat aduan pada 25 Februari dan siasatan mendapati kejadian berlaku pada 11 Februari sekitar pukul 12.15 tengah hari ketika sesi pembelajaran berlangsung.
“Kejadian itu berlaku ketika mangsa ingin duduk selepas memberi salam hormat kepada guru dan ketika itu, rakan mangsa bertindak menarik kerusi lalu menyebabkan mangsa jatuh,” katanya.
Ujarnya, mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) bagi mendapatkan rawatan lanjut malah hasil siasatan turut mendapati kedua murid terbabit merupakan rakan sekelas dan kejadian dipercayai berlaku tanpa sebarang unsur pergaduhan atau permusuhan serius.
“Bagaimanapun, polis telah menjalankan siasatan secara menyeluruh bagi memastikan semua aspek berkaitan kejadian ini diteliti dengan sewajarnya,” katanya.-UTUSAN










