ARLINGTON: Kapten England, Harry Kane membuktikan sentuhannya masih berbisa apabila menyamai rekod dua legenda negara itu, Gary Lineker dan David Beckham, selepas membantu The Three Lions membuka kempen Piala Dunia 2026 dengan kemenangan 4-2 ke atas Croatia awal pagi tadi.
Penyerang Bayern Munich itu meledak dua gol pada babak pertama untuk menyamai rekod 10 jaringan Piala Dunia milik Lineker, selain muncul pemain kedua England yang menjaringkan gol dalam tiga edisi Piala Dunia berbeza selepas Beckham.
Kane yang turut menjaringkan gol pada edisi 2018 dan 2022 kini meneruskan rentak cemerlangnya di Amerika Utara selepas menikmati musim gemilang bersama Bayern.
Penyerang Bayern Munich itu membuka tirai jaringan menerusi sepakan penalti pada minit ke-12 yang terpaksa diambil semula selepas penjaga gol Croatia, Dominik Livakovic, didapati meninggalkan garisan lebih awal ketika menyelamatkan percubaan pertama.
Croatia bagaimanapun bangkit menyamakan kedudukan menerusi Martin Baturina sebelum Kane kembali meletakkan England di depan apabila menanduk masuk sepakan penjuru Declan Rice.
Pasukan Balkan itu enggan mengalah apabila Petar Musa sekali lagi mengikat kedudukan sebelum tamat babak pertama.
Namun, England lebih ampuh pada separuh masa kedua apabila Jude Bellingham dan Marcus Rashford menambah jaringan untuk memastikan tiga mata pertama menjadi milik anak buah Thomas Tuchel.
Kane yang memenangi Kasut Emas pada Piala Dunia 2018 selepas menjaringkan enam gol kini berada pada landasan terbaik untuk mencipta sejarah sebagai pemain pertama meraih anugerah itu sebanyak dua kali.
Dia juga kini menyamai pencapaian dua lagi penyerang ternama dunia, Kylian Mbappe dan Erling Haaland yang masing-masing meledak dua gol dalam aksi pembukaan negara mereka di Piala Dunia 2026. – AGENSI










