VANCOUVER: Aksi terakhir Kumpulan B Piala Dunia 2026 antara Kanada dan Switzerland di BC Place Vancouver, esok, bukan sekadar menentukan juara kumpulan, malah bakal menjadi ukuran sebenar kemampuan kedua-dua pasukan untuk melangkah lebih jauh dalam kejohanan ini.
Kedua-dua pasukan kini mengumpul empat mata selepas dua perlawanan, namun Kanada berada di kedudukan teratas hasil kelebihan perbezaan jaringan.
Tuan rumah bersama itu memulakan kempen dengan keputusan seri 1-1 menentang Bosnia dan Herzegovina sebelum membelasah Qatar 6-0, manakala Switzerland seri 1-1 dengan Qatar sebelum bangkit menewaskan Bosnia dan Herzegovina 4-1.
Sudut paling menarik menjelang perlawanan ini adalah sama ada Kanada mampu mencipta sejarah dengan menamatkan saingan sebagai juara kumpulan di hadapan penyokong sendiri.
Selepas gagal meraih sebarang mata pada penampilan terdahulu di Piala Dunia 2022, skuad kendalian Jesse Marsch kini hanya selangkah untuk melakar pencapaian terbesar dalam sejarah bola sepak negara itu.
Bagaimanapun, Kanada menerima tamparan hebat apabila kehilangan tonggak tengah, Ismael Kone yang mengalami patah kaki ketika kemenangan besar ke atas Qatar.
Kehilangan pemain yang dianggap nadi jentera tengah itu memaksa Marsch melakukan rombakan ketika berdepan lawan paling sukar dalam kumpulan.
Marsch mengakui ketiadaan Kone memberi kesan besar kepada pasukannya, namun percaya pemain lain mampu mengisi kekosongan tersebut dalam perlawanan paling penting setakat ini.
“Kami kehilangan pemain yang sangat penting buat pasukan, tetapi perkara seperti ini adalah sebahagian daripada bola sepak dan kami perlu menyesuaikan diri.
“Saya percaya pemain lain bersedia untuk memikul tanggungjawab. Kami mahu meneruskan momentum yang telah dibina dan membuktikan bahawa pasukan ini mampu bersaing dengan sesiapa sahaja,” kata Marsch.
Sementara di kem Switzerland, keyakinan mereka semakin meningkat selepas melakar kemenangan meyakinkan ke atas Bosnia dan Herzegovina.
Pasukan bimbingan Murat Yakin dilihat semakin menemukan rentak dengan gandingan pemain berpengalaman seperti Granit Xhaka dan Breel Embolo terus menjadi sandaran utama.
Kebangkitan pemain muda Johan Manzambi yang meledak dua gol dalam aksi terdahulu turut memberikan dimensi baharu kepada serangan Swiss.
Yakin turut menegaskan pasukannya perlu lebih tajam di depan gawang jika mahu mengesahkan status sebagai juara kumpulan.
“Kami perlu lebih klinikal di hadapan gol dan memanfaatkan peluang yang dicipta kerana perlawanan seperti ini selalunya ditentukan oleh detik-detik kecil.
“Kanada memiliki pasukan yang berkualiti dan mendapat sokongan padu penyokong sendiri, namun kami datang dengan keyakinan tinggi dan mahu menamatkan saingan sebagai juara kumpulan,” ujarnya.
Menariknya, perlawanan ini menemukan dua pasukan yang memiliki falsafah berbeza, di mana Kanada gemar bermain secara agresif dan pantas menerusi serangan balas, manakala Switzerland terkenal dengan disiplin taktikal serta keupayaan mengawal tempo permainan.-AGENSI










