SANTA CLARA: Jordan mungkin tersingkir awal daripada Piala Dunia 2026, namun jurulatihnya, Jamal Sellami tetap berbangga dengan semangat juang dipamerkan anak buahnya sepanjang penampilan sulung mereka di pentas terbesar bola sepak dunia.
Kekalahan 1-2 kepada Algeria dalam aksi Kumpulan J menyaksikan Jordan mengakhiri kempen lebih awal selepas turut tewas 1-3 kepada Austria pada perlawanan pembukaan.
Sellami mengakui kurang pengalaman menjadi antara faktor yang membezakan kedua-dua pasukan terutama ketika berdepan situasi bola mati pada babak kedua.
“Saya fikir kurang pengalaman menyebabkan kami melepaskan dua gol daripada situasi sepakan penjuru ketika kami sedang menunggu untuk melakukan pertukaran pemain.
“Secara keseluruhan kami mengharungi perlawanan yang baik dan para pemain sepatutnya berbangga kerana aksi kali ini jauh lebih baik berbanding perlawanan pertama,” katanya.
Pengendali kelahiran Maghribi itu percaya aksi terakhir menentang juara dunia, Argentina bakal menjadi peluang terbaik buat Jordan menutup kempen dengan penuh maruah.
“Bagi kami, perlawanan menentang Argentina adalah satu peluang untuk menunjukkan prestasi terbaik dan meninggalkan impak yang baik buat bola sepak Jordan.
“Kami mahu menamatkan kejohanan ini dengan persembahan yang layak dikenang oleh penyokong Jordan,” ujarnya. – AGENSI










