PETALING JAYA: Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) memutuskan untuk tidak meneruskan tindakan disiplin terhadap baki tujuh pemain skuad kebangsaan Thailand yang dikaitkan dengan insiden kontroversi ketika perlawanan akhir Piala Dunia Sepak Takraw 2026, bulan lalu.
Sebaliknya, tujuh pemain terbabit hanya dikenakan amaran rasmi serta perlu menandatangani aku janji bagi mematuhi semangat kesukanan, menghormati pegawai perlawanan dan mematuhi Perlembagaan serta peraturan ISTAF.
Keputusan itu dibuat selepas Jawatankuasa Eksekutif dan Jawatankuasa Tatatertib ISTAF meneliti rayuan serta representasi yang dikemukakan Persatuan Takraw Thailand (TAT) yang diketuai Presidennya, Thana Chaiprasit dan Setiausaha Agung, Dr. Srihasak Arirachakaran.
Tujuh pemain yang terlepas daripada prosiding tatatertib itu melibatkan empat pemain Regu Pertama iaitu Marukin Phanmakon, Jirasak Pakbuangoen, Porhthep Tinbangbon dan Kritsada Sunvung, manakala tiga lagi ialah pemain Regu Kedua, Wuttinun Kamsanor, Tanaphon Sapyen dan Kritsanapong Nontakote.
Menurut ISTAF, penglibatan mereka dalam insiden yang membawa kepada pembatalan perlawanan akhir pada 24 Mei lalu adalah minimum memandangkan mereka telah menamatkan aksi masing-masing sebelum kejadian berlaku.
“Adalah adil dan wajar untuk pemain yang tidak terlibat secara langsung tidak diseret ke dalam prosiding tatatertib utama,” kata badan induk itu dalam satu kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, tindakan tatatertib terhadap lima pemain Regu Ketiga Thailand bersama jurulatih serta pengurus pasukan tetap diteruskan mengikut Perlembagaan dan Peraturan Tatatertib ISTAF.
Prosiding berkenaan bertujuan menentukan fakta sebenar dan mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab melalui proses yang bebas serta berkecuali.
Dalam masa sama, ISTAF menegaskan insiden tersebut tidak seharusnya menjejaskan reputasi Thailand sebagai antara kuasa besar sepak takraw dunia yang banyak menyumbang kepada pembangunan sukan itu sejak sekian lama.
Setiausaha Agung ISTAF, Datuk Abdul Halim Kader berkata, Thailand kekal sebagai negara penting dalam keluarga besar sepak takraw antarabangsa dan satu insiden malang tidak boleh menentukan masa depan negara itu.
“Thailand adalah gergasi sepak takraw dunia. Satu insiden yang tidak diingini tidak sepatutnya menenggelamkan segala sumbangan besar mereka kepada sukan ini.
“Kami percaya kepada disiplin apabila perlu, namun kami juga percaya kepada pendidikan, pemulihan dan peluang kedua. Kami yakin Thailand akan bangkit lebih kuat serta terus menjadi inspirasi kepada dunia sepak takraw,” katanya.
ISTAF turut menegaskan komitmennya untuk terus mempertahankan integriti sukan sepak takraw sambil memastikan setiap pihak mendapat layanan yang adil serta melalui proses sewajarnya.-UTUSAN










