BEIRUT: Sekurang-kurangnya lima orang terbunuh dalam serangan udara dan dron Israel di selatan Lubnan semalam, hanya beberapa jam selepas pasukan rejim dan kumpulan Hizbullah memperbaharui gencatan senjata sehari sebelumnya.
Agensi Berita Kebangsaan Lubnan (NNA) melaporkan, pesawat perang dan dron Israel melancarkan beberapa siri serangan di sekitar kawasan Nabatieh sepanjang malam hingga pagi Sabtu, memusnahkan bangunan kediaman dan rumah.
NNA turut melaporkan tembakan artileri Israel ke atas bandar Nabatieh dan kawasan sekitarnya, wilayah yang menjadi tumpuan pertempuran dalam beberapa hari kebelakangan ini.
Menurut agensi itu, tiga orang terbunuh dalam serangan udara di bandar Arab Salim, seorang lagi di Deir Zahrani, manakala seorang lagi maut selepas dron musuh melancarkan serangan ke atas sebuah motosikal di pintu masuk bandar Dweir.
Kelmarin, seorang pegawai Amerika Syarikat (AS) memberitahu AFP, gencatan senjata segera antara Israel dan Hizbullah dicapai hasil rundingan pengantara AS dan Qatar selepas perbincangan dengan Israel serta Iran. Seorang diplomat Teluk turut mengesahkan perjanjian tersebut.
Duta Israel ke AS pula berkata, negaranya akan mematuhi gencatan senjata jika Hizbullah turut menghormatinya.
Bagaimanapun, pengumuman gencatan senjata sebelum ini sering gagal menghentikan serangan daripada kedua-dua pihak.
Lubnan kini menjadi titik panas yang berpotensi menggagalkan usaha Presiden Donald Trump untuk mengeluarkan AS daripada konflik Asia Barat.
Mesyuarat yang sepatutnya berlangsung kelmarin antara AS dan Iran di Switzerland bagi membincangkan pelaksanaan perjanjian penamatan konflik dibatalkan selepas Hizbullah membunuh empat tentera Israel, manakala pasukan rejim melancarkan gelombang serangan udara di selatan Lubnan serta Lembah Bekaa yang mengorbankan sekurang-kurangnya 47 orang.
Semalam, Axios melaporkan, utusan khas Trump, Steve Witkoff, dan Menteri Luar Iran, Abbas Aragchi, dalam perjalanan menuju ke Switzerland untuk mengadakan rundingan, walaupun serangan maut Israel dilihat berpotensi menguji gencatan senjata baharu yang menjadi kunci kepada penamatan perang.
Rundingan tersebut merupakan usaha untuk menjadikan perjanjian sementara 14 perkara yang dicapai minggu ini sebagai perjanjian serantau yang berkekalan bagi menamatkan konflik dicetuskan AS-Israel pada 28 Februari lalu.-AFP/AGENSI











